Pemimpin utama parti di Sabah pertahan kerusi masing-masing
Presiden bertanding (dari kiri) Bung Moktar, Shafie Apdal dan Maximus |
KOTA KINABALU— Penamaan calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 di Sabah menyaksikan beberapa pemimpin utama parti mempertahan kerusi parlimen masing-masing.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mempertahan kerusi Parlimen Kinabatangan, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertahan kerusi Parlimen Semporna manakala Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Christina Liew mempertahan kerusi Tawau.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau pula mempertahan kerusi Parlimen Tuaran, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Maximus Ongkili (Parlimen Kota Marudu) dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Parlimen Keningau), lapor Bernama.
Bung Moktar, yang menjadi penyandang di Parlimen Kinabatangan selama lima penggal sejak 1999, berkata beliau yakin dapat mempertahan kerusi itu berdasarkan sambutan masyarakat setempat dan gerak kerja tersusun antara jentera BN dengan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Meskipun berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Warisan Mazliwati Abdul Malek, yang memiliki pertalian kekeluargaan dengannya, Bung Moktar yakin kempen mereka akan tetap memelihara keharmonian dan berlandaskan demokrasi.
"Saya dan calon Warisan ini bukan orang lain, kami bersaudara. Saya cukup yakin tidak akan ada apa-apa berlaku dan jentera kempen dinasihatkan bergerak mengikut kehendak demokrasi,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Lamag di sini hari ini.
Mazliwati pula berkata meskipun berdepan figura politik yang dihormatinya iaitu Bung Moktar, beliau akan menggalas tanggungjawab diberikan parti selain profesional dalam berkempen selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.
Mohd Shafie, yang berdepan saingan empat penjuru bagi mempertahan kerusi Parlimen Semporna yang dipegangnya selama enam penggal, menasihati semua calon parti itu agar tidak menimbulkan sebarang kekacauan dan menyalah guna platform sebagai calon untuk mencaci orang lain.
Bakal berentap dengan Arastam Pandorog (PH-PKR), Nixon Abdul Habi (GRS-Bersatu) dan Ab Razik @ Ab Rajak Bin Ab Hamid (Pejuang), beliau berkata Warisan hanya menampilkan calon yang mempunyai kandungan ucapan yang baik selain berpendidikan tinggi seperti peguam dan doktor.
Liew pula berkata selain bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, PH ingin memberi jaminan bahawa visi gabungan politik itu ke arah mencapai kestabilan, integriti dan tadbir urus yang baik kekal utuh.
Liew, yang memenangi kerusi Parlimen Tawau pada 2018 atas tiket PH-PKR dan PRU7 pada 1986 ketika bersama PBS, berdepan pertandingan enam penjuru menentang Lo Su Fui (GRS-PBS), Chen Ket Chuin (Warisan), Herman Amdas (Pejuang) serta dua calon Bebas iaitu Chin Chee Syn dan Mohd Salleh Bacho.
Madius, yang mempertahan kerusi Parlimen Tuaran yang disandangnya sejak empat penggal, pula menyifatkan saingan calon lain termasuk Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai (mewakili GRS) adalah umpama berdepan dengan ‘gergasi.’
"Kita ini pesaing bukan pilihan... apa pun aspirasi rakyat itu kita terus perjuangkan sehingga kita menang," katanya yang dicabar Joniston (GRS-PBS), Jo-Anna Sue Henly Rampas (Warisan), Muminin Norbinsha (Pejuang) serta dua calon Bebas iaitu Boby Lewat dan Noortaip Suhaili @ Sualee.
Semasa Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada 2020, Joniston pernah berentap dengan Madius bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Kiulu, menyaksikan keputusan memihak kepada Joniston yang memperoleh 1,121 undi.
Joniston pula berkata kestabilan kerajaan amat penting bagi menjamin semua perancangan boleh dilaksanakan dan ia bukan hanya diperlukan di peringkat negeri malah Persekutuan.
"Kita sudah mempunyai kerajaan negeri yang stabil di Sabah, saya pula adalah calon daripada parti dalam GRS dan sudah tentu kita ingin melihat kerajaan yang stabil di peringkat Persekutuan kerana kestabilan politik serta ekonomi amat penting,” katanya.