Pembentukan kerajaan Persekutuan mesti libatkan parti Sabah, Sarawak

Pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15, Pembentukan kerajaan Persekutuan mesti libatkan parti Sabah, Sarawak
BN perlu memenangi sekurang-kurangnya 80 hingga 90 kerusi Parlimen daripada 178 kawasan yang ditandingi untuk menjadi parti dominan jika kerajaan campuran terpaksa dibentuk - Ismail Sabri. Gambar arkib

KUALA LUMPUR— Parti-parti politik Sabah dan Sarawak tidak boleh diketepikan dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Justeru, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, berkata Barisan Nasional (BN) sedia bekerjasama dengan parti dari kedua-dua negeri iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.


"Apa pun keputusan, gabungan mesti diputuskan oleh parti. Individu tidak berhak untuk menentukan dengan siapa kita nak bergabung selepas pilihan raya, tetapi yang pasti kita akan bersama-sama menjemput GPS sebagai contoh.


"Kita juga bersedia untuk bekerjasama dan akan menjemput GRS dan BN Sabah, kerana bagi saya berapa banyak kerusi sekalipun kita dapat, 120 ke 130 ke, kita mesti mempunyai parti dari Sabah dan Sarawak. 


Mereka tidak boleh ditinggalkan dalam gabungan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan," kata beliau dalam program Bual Bicara Khas Kestabilan dan Kemakmuran Bersama Perdana Menteri yang disiarkan oleh Bernama TV dan beberapa stesen televisyen tempatan, malam tadi.


Bagaimanapun, Ismail Sabri, yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri daripada BN, berkata BN perlu memenangi sekurang-kurangnya 80 hingga 90 kerusi Parlimen daripada 178 kawasan yang ditandingi untuk menjadi parti dominan jika kerajaan campuran terpaksa dibentuk.


"Kalau kita (BN) hanya ada 40 kerusi, orang lain 60 kerusi, tak mungkin lagi kita boleh ketuai kerajaan campuran tersebut. Sebab itu, kita nak kita yang teraju, sebab sasaran kita kalau boleh 112 kita atasi (jumlah majoriti mudah) dan boleh bentuk kerajaan. 


"Atau tak boleh sekalipun 80 atau 90 (kerusi), kita lebih dominan berbanding parti lain. Jadi kalau kita jemput mereka sertai kita, tentulah perdana menteri datang daripada kita (BN). Kalau kita dapat 30, orang lain 80, maka orang lainlah akan jadi PM," katanya.


Sejumlah 222 kerusi Parlimen dipertandingkan dan berdasarkan sistem ‘first-past-the-post’, mana-mana parti atau gabungan yang memperoleh majoriti mudah 112 kerusi, layak membentuk kerajaan. 


Mengenai dakwaan bahawa BN mungkin akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) jika tidak memenangi cukup kerusi, Ismail Sabri berkata perkara itu tidak mungkin berlaku kerana Perhimpunan Agung UMNO dan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah membuat keputusan menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan PKR.


"Kalau nak reverse (menarik balik) keputusan tersebut, bawalah balik ke MT dan bawa balik ke mesyuarat agung luar biasa untuk putuskan sebaliknya. Selagi tidak ada keputusan seperti itu, maka keputusan ‘No Anwar, No DAP’ itu akan terus kekal. 


"Dan saya percaya tidak ada sesiapa pun dalam kalangan UMNO, kepimpinan tertinggi mana sekalipun yang boleh mengubah keputusan MT dan boleh ubah keputusan PAU dengan cara bersendirian. Ia mesti diputuskan oleh parti," kata Ismail Sabri.


Sementara itu, penyandang Parlimen Bera itu sekali lagi menzahirkan keyakinan bahawa BN akan dapat memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas melihat "mood" pengundi yang sudah banyak berubah berbanding PRU14.


"Bukan setakat dalam kalangan pengundi Melayu mahupun pengundi bandar, tetapi juga dalam kalangan pengundi bukan Melayu terutamanya kaum Cina sudah nampak penerimaannya yang jauh lebih bagus berbanding PRU14. Kalau tanya adakah saya yakin boleh menang? Tentu sahaja saya jawab yakin," kata beliau.


Namun, Ismail Sabri menyuarakan kebimbangan isu peribadi akan lebih banyak dibangkitkan dalam minggu kedua kempen PRU15, yang semakin sengit menjelang hari pengundian.


Beliau berkata BN akan lebih memberi tumpuan kepada ‘produk’ dan perkara yang boleh ditawarkan kepada rakyat berbanding menjadikan serangan peribadi sebagai bahan kempen.


"Dari segi manifesto, kita jauh lebih baik daripada manifesto parti lain sebab manifesto kita sebahagian besar adalah daripada Bajet 2023 yang telah dibentangkan," kata beliau sambil menambah kata bahawa ia bukan janji kosong kerana mempunyai dana mencukupi untuk pelaksanaannya.


Ismail Sabri turut berharap keadaan harmoni serta lancar semasa berkempen tanpa sebarang isu besar melibatkan provokasi atau keganasan melampau ketika ini berterusan sehingga hari mengundi pada Sabtu.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.