Pembentukan Kerajaan Persekutuan: GPS dan PN mulai rundingan
Muhyiddin (dua, kanan) berbincang dengan Abang Johari (kanan) dan Abdul Hadi (kiri). Kelihatan sama Ibrahim Baki. Gambar FB Muhyiddin Yassin |
KUALA LUMPUR— Suatu hantaran ringkas di media sosial oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kunjungan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini memberi gambaran awal bahawa kedua-dua parti itu sedang menghalusi pembentukan kerajaan Persekutuan.
Gambar itu turut menunjukkan kelibat Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang dan Ketua Whip Dewan Undangan Negeri (DUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Ibrahim Baki.
“Pagi ini saya menerima kunjungan YAB Tan Sri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.
Untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan. Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas. InsyaAllah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” coretnya.
Hantaran itu mendapat 45,000 likes dalam masa 43 minit menunjukkan rakyat Malaysia mengikuti dari dekat pergolakan politik semasa
Terdahulu Bernama melaporkan, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.
Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
PN membuka gelanggang buat kali pertama dalam pilihan raya umum dengan mempamerkan prestasi mengagumkan apabila menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu menggunakan logo PAS, selain membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Barisan Nasional (BN) yang sudah bersedia untuk kembali menerajui Putrajaya sebaliknya mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.
GPS menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lepas; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (tiga); Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi manakala Gerakan Tanah Air (GTA) dalam penampilan sulungnya gagal memenangi sebarang kerusi.
GPS ‘dimangsakan’ kerana UMNO?
GPS menang besar di Bintulu dan berjaya merampas kembali Sarikei namun kalah teruk di Miri, Sibu, Lanang, Kuching, Stampin dan gagal menumbangkan DAP di Mas Gading.
Pengundi di kawasan bandar besar menolak GPS kerana tidak mahukan UMNO.
Pengundi di hampir semua bandar besar menolak GPS kerana tidak mahukan UMNO. |
Malangnya apabila menolak UMNO, PAS dan Bersekutu yang lebih ortodoks sebagai galang ganti.
Parti pemerintah juga sekali lagi kalah kepada Larry Sng di Julau dan Ali Biju di Saratok walaupun dua tokoh ini sudah bertukar jersi dari calon Bebas dan PKR, kepada Parti Bangsa Malaysia dan Bersekutu - membuktikan kekuatan calon lebih penting di Sarawak.
Penyertaan parti Pakatan Harapan di kawasan Melayu Melanau pula dipersenda generasi Z sebagai poster ‘Orang Hilang’, kerana majoriti calon diturunkan lesap selepas proses penamaan selesai.
Calon parti Amanah pimpinan bekas Menteri Pertahanan yang terkenal dengan baju pilot pesawat pejuang Top Gun, Mohamad Sabu. |
Kalau ada pun yang cuba berkempen, ketiadaan kredibiliti membuatkan mereka hilang deposit di banyak tempat, khususnya calon parti Amanah pimpinan bekas Menteri Pertahanan yang terkenal dengan baju pilot pesawat pejuang Top Gun, Mohamad Sabu.