Notification

×

Iklan

Iklan

Ahmad Zahid dimohon letak jawatan 

| November 20, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-20T06:47:22Z
Ahmad Zahid perlu mengundurkan diri demi kepentingan dan masa depan parti - Datuk Onn Hafiz Ghazi.

JOHOR BAHRU—Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini berkata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu meletak jawatan pada kadar segera susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Beliau yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor berkata Ahmad Zahid perlu mengundurkan diri daripada terus memegang jawatan Presiden UMNO demi kepentingan dan masa depan parti.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata perubahan perlu dilakukan kerana ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi, terkorban kerana tindakan tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi, lapor Bernama.


"Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, iaitu orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah.


"UMNO dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor, sementara itu, kita tidak memenangi satupun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu.


"Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-15 semalam," kata Onn Hafiz menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.


Beliau berkata usaha untuk memulih dan memperbaiki parti perlu bermula dari sekarang dan sekiranya perubahan tidak dilakukan segera, UMNO dan BN tidak akan memenangi walaupun satu kerusi pada masa akan datang.


Sehubungan itu katanya, Ahmad Zahid perlu berjiwa besar untuk meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak telah berbuat demikian pada 2018.


"Insya-Allah tindakan berjiwa besar ini akan membantu kita mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti UMNO yang kita semua cintai ini.


"Segala pengorbanan mereka akan dihargai dan insya-Allah, perjuangan ini akan diteruskan. Semoga Allah SWT merestui dan merahmati perjuangan serta pengorbanan kita semua," katanya.


Pada PRU15, BN hanya meraih sembilan kerusi daripada 26 kerusi yang ditandingi di Johor iaitu Simpang Renggam, Parit Sulong, Ayer Hitam, Pontian, Kota Tinggi, Tenggara, Pengerang, Sembrong dan Tanjung Piai.


Pakatan Harapan memenangi 14 kerusi, Perikatan Nasional (PN) dua kerusi dan Parti Ikatan Demokratik (MUDA) satu kerusi.


Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan hari ini mengumumkan peletakan jawatannya atas dasar tanggungjawab secara kolektif, susulan prestasi hambar parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Dalam kenyataan menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Naib Ketua Pemuda UMNO itu bagaimanapun menegaskan akan terus kekal bersama parti berkenaan.


"Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar.


"Seperti ramai (ahli) yang lain, saya kekal setia bersama UMNO. Perjuangan parti belum selesai. Ini bukanlah pengakhirannya," katanya.


Pada masa sama, Shahril turut menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional (BN).


"Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi iaitu tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpendapat bahawa pemimpin nombor satu iaitu Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini iaitu berundur secara terhormat.


"Biarlah kepimpinan dan individu lain (yang) memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini," katanya.


Beliau berkata UMNO juga perlu menimbangkan langkah seterusnya dalam situasi yang menyaksikan tiada pihak mencapai angka 112 (memperoleh majoriti mudah) pada PRU15.


PRU15 semalam menyaksikan BN mencatat prestasi kurang memberangsangkan apabila hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen berbanding pencabarnya Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 82 kerusi manakala Perikatan Nasional meraih 73 kerusi Parlimen.


Shahril turut tewas di kerusi Parlimen Alor Gajah apabila memperoleh 27,288 undi berbanding calon PH Adly Zahari yang mendapat 28,178 undi.

×
Berita Terbaru Update