Notification

×

Iklan

Iklan

PRU15: 32 daripada 127 calon wanita menang kerusi Parlimen

| November 20, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-20T03:14:19Z
Dari kiri Rodiyah Sapiee (GPS), Alice Lau (PH) dan Rubiah Wang (GPS) yang berjaya mendapat mandat rakyat pada PRU15.

KUALA LUMPUR— Seramai 32 calon wanita daripada 127 orang yang bertanding di kerusi Parlimen berjaya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Daripada keseluruhan 127 calon Parlimen, 16 adalah calon Pakatan Harapan (PH), lima daripada Gerakan Parti Sarawak (GPS), tujuh daripadanya merupakan Perikatan Nasional (PN), tiga Barisan Nasional  (BN) dan satu daripada Warisan, manakala bagi DUN, tujuh (PH),lima (PN) dan tiga (BN).


Bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Nancy Shukri yang bertanding di  kerusi Parlimen di Santubong memperoleh undi majoriti sebanyak 19,485 selain Datuk Rubiah Wang mempertahankan kerusi Parlimen Kota Samarahan dan kedua-dua mereka merupakan antara calon wanita bagi GPS, lapor Bernama.


Calon muka baharu, Rodiyah Sapiee turut memberi kemenangan buat GPS di Parlimen Batang Sadong selepas menewaskan wakil PH, Cikgu Lahaji dengan majoriti 14,893 undi.


Dalam pada itu, antara calon wanita BN yang memenangi kerusi adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Parlimen Parit Sulong, dengan majoriti 11,474 undi, selepas memperoleh 25,740 undi. 


Antara calon PH yang memenangi kerusi yang ditandingi ialah Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti 9,817 selain Teo Nie Ching, Teresa Kok Sim dan Hannah Yeoh masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Kulai, Seputeh dan Segambut.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said juga terus mempertahankan kerusi  Parlimen Pengerang apabila berjaya meraih sebanyak 21,738 undi selain Datuk Siti Aminah Aching memenangi kerusi di Parlimen Beaufort. 


Bagi calon wanita PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah yang dimenangi dalam PRU14 atas tiket BN selepas memperoleh 25,604 undi dengan majoriti 4,411 menewaskan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid.


 Ketua Wirawati Warisan Isnaraissah Munirah Majilis yang menjadi calon tunggal wanita yang memenangi kerusi Warisan sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Kota Belud dengan majoriti 4,582 undi.


Selain itu, kubu kuat PH, Parlimen Permatang Pauh yang sinonim dengan legasi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim tumbang di tangan parti lawan apabila Nurul Izzah tewas kepada calon PN, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272.


Penyandang Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin juga gagal mempertahankan kerusinya selepas tewas dalam pertembungan sembilan penjuru di kawasan itu apabila hanya meraih 4,589 undi. 


PRU15 menyaksikan penurunan  jumlah calon wanita iaitu 187 orang bertanding 251 orang sewaktu PRU14 pada 2018. 


Pilihan raya kali ini turut menyaksikan PH memenangi 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam),Warisan (tiga), PBM satu kerusi dan dua calon bebas.


Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) seramai 15 daripada  60 lagi calon yang bertanding di Perlis, Perak, Pahang dan Bugaya di Sabah berjaya memenangi kerusi masing-masing.

×
Berita Terbaru Update