Pembantu tadbir didakwa pecah amanah lebih RM41,000 wang khairat kematian

Pembantu tadbir Felda melakukan pecah amanah wang khairat kematian, Pembantu tadbir didakwa pecah amanah lebih RM41,000 wang khairat kematian
Nurul Syafiha (tengah) mengaku mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan pecah amanah lebih RM41,000 wang khairat kematian. Gambar kredit Sinar Harian 

KUANTAN— Seorang pembantu tadbir Felda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang khairat kematian berjumlah RM41,652.42, pada 2018 dan 2019.


Bagaimanapun, Nurul Syafiha Awang Za, 33, yang beralamat di Marang, Terengganu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Februari 2018 hingga Jun 2019 di Pejabat Felda Sungai Panching Timur di sini dengan menggunakan wang pembayaran khairat kematian tujuh waris peneroka yang diamanahkan kepadanya, untuk kegunaan sendiri.


Bagi kesalahan itu, tertuduh yang merupakan ibu kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.


Tertuduh telah ditukarkan ke Felda Chini, Pekan namun kini telah digantung tugas, lapor Bernama.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rif'ah 'Izzati Abdul Mutalif yang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon untuk tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah. 


Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan itu dikurangkan kerana dirinya menanggung ibu bapa selain perlu menjaga anak bongsunya yang mempunyai masalah kesihatan.


Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM serta menetapkan 22 Dis ini sebagai sebutan semula kes.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.