3,641 syarikat Sarawak terpaksa gulung tikar semasa pandemik

Malcolm berkata jumlah itu berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

KUCHING— Sebanyak 3,641 syarikat di Sarawak terpaksa gulung tikar sepanjang pernularan wabak COVID-19 dari tempoh 2020 hingga hari ini.


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata ia berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Beliau berkata bagi mengurangkan kesan pandemik COVID-19, kerajaan Pusat telah menyediakan pelbagai bantuan seperti Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), lapor Bernama.


“Kerajaan Sarawak juga telah melaksanakan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang berjumlah RM6.7 bilion yang merangkumi bantuan kewangan dan bantuan bukan kewangan untuk rakyat termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).


“Dari tahun 2020 sehingga kini juga lebih 10,500 usahawan-usahawan Sarawak telah menerima bantuan dari kerajaan negeri dengan jumlah bantuan sebanyak RM 187 juta menerusi pelbagai program,” katanya menjawab soalan Safiee Ahmad (GPS-Daro) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.


Safiee ingin tahu jumlah syarikat di Sarawak yang telah gulung tikar sejak pandemik COVID-19 melanda negara dan usaha kerajaan membantu mereka memulihkan perniagaan.

Next Post Previous Post