Gara-gara tak puas hati proses jual beli, lelaki samun kereta mewah

Pemilik kenderaan menunjukkan kenderaan yang mahu dijual kepada suspek. Gambar kredit Polis Iskandar Puteri 

JOHOR BAHRU— Gara-gara tidak puas hati ketika proses jual beli sebuah kenderaan mewah, sekumpulan lelaki bertindak menyamun kereta tersebut dalam kejadian di Jalan Indah 15/3, Taman Bukit Indah, dekat sini, Rabu lepas.


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata lima lelaki yang berumur 21 hingga 56 tahun itu berjaya ditahan kira-kira pukul 6.50 petang semalam di sekitar Taman Setia Indah, di sini.



Beliau berkata tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang lelaki berusia 33 tahun, yang juga pemilik kenderaan berkenaan mengenai kejadian itu pada kira-kira 1.20 pagi Rabu lepas, lapor Bernama.


“Punca kejadian dipercayai disebabkan salah seorang suspek yang ditahan tidak berpuas hati berkenaan urusan jual beli kenderaan Mercedes Benz dan semasa perbincangan telah berlaku pergaduhan.


"Kesemua mereka ditahan bersama barang kes iaitu kereta Mercedes Benz dan telah mengaku terlibat dengan kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurut Rahmat, susulan insiden itu, pemilik kenderaan tersebut mengalami kecederaan di kepala dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).


Selain itu, seorang daripada suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Pertubuhan kerana terdapat tatu bercorak 'burung pheonix' di lengan sebelah kanan, katanya.


Kesemua mereka direman mulai hari ini sehingga 27 Nov.


Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Next Post Previous Post