Notification

×

Iklan

Iklan

DUN Sarawak lulus pindaan perlembagaan mengenai lompat parti

| November 22, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-22T06:50:02Z
Rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga apabila disokong 77 ahli DUN - Datuk Sharifah Hasidah 

KUCHING— Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No.2) 2022 untuk menjadikan Perlembagaan negeri itu selaras dengan undang-undang antilompat parti yang dipinda dalam Perlembagaan Persekutuan Julai lepas.


Dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga apabila disokong 77 ahli DUN. 


 “Pindaan ini terdiri daripada dua bahagian. Pertama, ia berkaitan larangan pertukaran parti politik ahli yang dipilih. Hal ini untuk mengelakkan tindakan lompat parti dalam kalangan ahli yang dipilih.


“Pindaan ini juga memperuntukkan keadaan yang keahlian Dewan Undangan tidak akan terjejas seperti pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politik atau pemecatan keahlian daripada parti politiknya,” katanya, lapor Bernama.


Pindaan itu antara lain termasuk menambah Perkara 16B dan menggugurkan klausa sedia ada (6) dan (7) Perkara 17 Perlembagaan negeri.


Pada 28 Julai, Malaysia mencatat sejarah apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk melarang ahli Dewan Rakyat daripada bertukar parti atau bertindak melompat parti, diluluskan selepas menerima sokongan majoriti dua pertiga daripada Ahli Parlimen.


Sementara itu, Safiee Ahmad (GPS-Daro) semasa membahas rang undang-undang itu berkata pindaan berkenaan penting supaya episod pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam satu penggal seperti yang berlaku sebelum ini tidak berulang lagi.


“Usaha ini bukan sahaja untuk menghargai dan menghormati mandat rakyat melalui sistem demokrasi, malah mampu mengekalkan integriti politik dalam pentadbiran negeri.


“Saya yakin dengan penguatkuasaan undang-undang ini juga akan dapat menghentikan mana-mana wakil rakyat yang suka melompat parti seperti katak demi memenuhi agenda peribadi mereka tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat,” katanya.

×
Berita Terbaru Update