Liga Super 2023: Sarawak United sah tidak beraksi


PETALING JAYA-- Sarawak United FC dan Melaka United FC terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super 2023, selepas rayuan mereka untuk memohon lesen kebangsaan ditolak.


Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata rayuan kedua-dua pasukan itu ditolak Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB), selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022 dalam satu mesyuarat sebelum ini.


Beliau berkata pengumuman hari ini, sekali gus menyaksikan keputusan dilakukan oleh First Instance Body (FIB) pada 12 Okt, kekal, lapor Bernama.


“Berdasarkan kepada kerahsiaan penyerahan, saya tidak dapat maklumkan apa yang telah atau tidak dihantar ataupun perkara yang menyebabkan kegagalan (rayuan oleh kedua-dua pasukan),” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Sebelum ini, Pengerusi Pelesenan Kelab MFL FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata Melaka United gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Jun dan Ogos tahun ini.


Bagi Sarawak United, Sheikh Mohd Nasir berkata mereka gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan, serta mempunyai dua kes dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Kamar Penyelesaian Pertikaian FIFA (DRC) telah membuat keputusan terhadap bekas pemain, Sandro Da Silva Mendonca dan Taylor Francis George Regan.


Bagaimanapun, kedua-dua kelab tersebut diberi tempoh seminggu sehingga 19 Okt lepas untuk mengemukakan rayuan mendapatkan lesen kebangsaan.


Dalam pada itu, Stuart berkata MFL masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada Sarawak United dan Melaka United, walaupun pihaknya telah menghantar keputusan rayuan kepada kedua-dua pasukan tersebut tengah hari tadi.


Sehubungan itu, beliau berkata penolakan rayuan kedua-dua pasukan itu menyaksikan hanya 16 pasukan berbanding 18 pasukan beraksi pada saingan Liga Super musim depan.


Katanya berdasarkan struktur liga musim depan, kedua-dua kelab itu berpeluang untuk beraksi di Liga M3, namun kesemuanya tertakluk kepada badan pengelola liga tersebut iaitu Liga Bolasepak Amatur (AFL).


Dalam perkembangan lain, Stuart berkata MFL setakat ini masih mengekalkan tarikh penganjuran separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 20 Nov ini, biarpun ia diadakan sehari selepas hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Next Post Previous Post