Lapan Parlimen di Sarawak berdepan satu lawan satu

Calon Batang Sadong Rodiyah Sapiee (tiga, kanan) bakal ditentang Lahaji Lahiya (PH-AMANAH).

KUALA LUMPUR— Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan sembilan pertandingan satu lawan satu iaitu di Parlimen Kinabatangan, Kota Samarahan, Batang Sadong,Tanjong Manis, Igan, Sarikei, Mukah, Hulu Rajang dan Limbang.


Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi medan tempur politik paling menarik dengan calon paling ramai dan meriah melalui pertembungan 10 penjuru bagi merebut kerusi.


Kerusi Parlimen Batu ditandingi penyandangnya P. Prabakaran atas tiket Pakatan Harapan (PH) dan calon lain termasuk bekas Timbalan Menteri Luar Datuk A. Kohilan Pillay daripada Barisan Nasional (BN), Azhar Yahya mewakili Perikatan Nasional (PN) dan peguam Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang).


Lebih menarik, ia juga menyaksikan kemunculan semula bekas Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang @ Tian Chua yang bertanding atas tiket Bebas selain Naganathan Pillai (Warisan) Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia) serta peguam Siti Zabedah Kasim, yang lebih dikenali sebagai Siti Kasim, serta pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwan Shaharudin, atau lebih terkenal dengan gelaran Cleopatra, dan Too Cheng Huat masing-masing bertanding sebagai calon Bebas.


Seterusnya pertandingan sembilan penjuru di Ampang yang menyaksikan Datuk Zuraida Kamruddin akan mempertahan kerusi Parlimen itu bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia menentang enam calon mewakili pelbagai parti dan tiga calon Bebas.


Pertembungan lapan penjuru pula berlaku di tiga kerusi Parlimen iaitu Sepang, Bangi dan Kota Raja dengan paling mencuri tumpuan pastinya Sepang di mana Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun berdepan tujuh pencabar di kawasan yang sebelum ini dimenangi calon Amanah pada PRU14, selain Presiden Amanah Mohamad Sabu di Kota Raja.


PRU15 turut menyaksikan pertembungan tujuh penjuru di lima kerusi Parlimen.  Antara yang menarik perhatian ialah Parlimen Sungai Siput di mana penyandangnya S. Kesavan daripada PH dicabar Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran daripada BN serta lima lagi temasuk tiga calon Bebas.


Pertembungan enam penjuru pula berlaku di 24 kerusi Parlimen manakala 43 Parlimen menyaksikan pertandingan lima penjuru.


Pertembungan empat penjuru ternyata mendominasi bilangan kawasan Parlimen, melibatkan 82 daripada keseluruhan 222 kerusi yang dipertandingkan.


Antara kerusi tumpuan ialah Parlimen Tambun menyaksikan Presiden PKR Anwar Ibrahim akan ditentang seterunya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang merupakan penyandang kerusi itu, serta calon BN dan Pejuang. 


Malah puteri sulung Anwar, Nurul Izzah, turut bertanding bagi mengekalkan Permatang Pauh - kerusi tradisi PKR dalam pertandingan empat penjuru berdepan calon BN Datuk Mohd Zaidi Mohd, Muhammad Fawwaz Mat Jan yang mewakili PN dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) Mohd Nasir Othman.


Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut berdepan pertandingan empat penjuru manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula berdepan tugas berat bagi mempertahan kerusi Parlimen Kepala Batas iaitu satu daripada dua kerusi yang dimenangi parti itu di Pulau Pinang sebelum ini.


Pertandingan tiga penjuru pula membabitkan 54 Parlimen dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara calon tumpuan yang akan menentang dua pencabarnya di Parlimen Bera. 


Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, pertembungan tiga penjuru paling banyak mendominasi membabitkan 51 kawasan diikuti empat penjuru (47), lima penjuru (12), enam penjuru (empat).


Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, yang merupakan penyandang DUN Bintong, berdepan saingan enam penjuru manakala Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula menggalas misi mempertahan kerusi DUN Jelai dengan menentang tiga lawannya.


Namun begitu, hanya terdapat satu pertembungan satu lawan satu iaitu di DUN Kemayan, Pahang manakala dua pertembungan tujuh penjuru dicatatkan di DUN Chenderiang, Perak dan DUN Bugaya di Sabah.


Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan pertembungan banyak bilangan penjuru pada PRU15 akan mengelirukan pengundi untuk memilih calon terbaik kerana parti politik di negara ini tidak berasaskan ideologi sebaliknya berasaskan kaum.


Beliau berkata kewujudan pelbagai parti politik baharu merupakan antara penyebab pertambahan bilangan penjuru dalam PRU15. 


Malah peningkatan calon Bebas yang bertanding di kerusi Parlimen kali ini meningkat kepada 108 orang berbanding 24 pada PRU14 juga membawa kepada pertembungan banyak penjuru di sesuatu kawasan sekali gus menyebabkan pecah undi dan majoriti lebih rendah. 


“Apabila berlaku pertikaian dalam kalangan parti politik, yang keluar mewujudkan parti baharu dengan haluan masing-masing dan bila mereka menawarkan khidmat dan diterima pula oleh rakyat maka mereka berani untuk bertanding sekali gus mewujudkan persaingan bilangan penjuru di sesuatu kawasan.


“Jenama parti politik baharu ini sebenarnya hampir sama dengan yang lama namun isu dasar yang membezakan dan calon yang mempunyai tarikan akan berjaya memenangi hati rakyat,” katanya kepada Bernama.


Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 hari bermula hari ini untuk berkempen sebelum pengundian awal pada 15 Nov dan pengundian pada 19 Nov.

Next Post Previous Post