Lada Sarawak sumbang 90 peratus daripada sumbangan industri kepada KDNK


KUCHING—Industri lada Sarawak menyumbang 90 peratus daripada sumbangan RM2.2 bilion industri lada Malaysia kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2021, kata Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.


Beliau berkata jumlah pengeluaran eksport lada Sarawak tahun lepas berjumlah 8,097 tan metrik yang bernilai RM151.2 juta.


“Dalam suku ketiga 2022 (S3 2022), nilai eksport lada Sarawak meningkat daripada RM102.0 juta kepada RM136.5 juta berbanding Suku Ketiga 2021.


“Destinasi utama eksport lada Sarawak ialah Jepun, Vietnam, Taiwan dan Korea Selatan,” katanya dalam ucapan penggulungan Bajet 2023 negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini, lapor Bernama.


Rundi berkata harga lada ketika ini stabil pada purata RM13,000 setan metrik bagi lada hitam dan RM23,300 setan metrik bagi lada putih.


“Harga dijangka berada dalam jajaran RM15,000 hingga RM17,000 setan metrik bagi lada hitam dan RM25,000 to RM26,000 setan metrik bagi lada putih pada 2023,” katanya.


Beliau berkata, memandangkan kepentingan industri lada kepada ekonomi negeri, terutamanya bagi 37,484 pekebun kecil lada ketika ini, penting bagi Sarawak untuk memainkan peranan lebih besar dalam industri tersebut.


“Mustahak untuk menubuhkan Lembaga Lada Sarawak sendiri untuk mempercepat pembangunan industri lada premium,” katanya.

Next Post Previous Post