Hentikan bangkit isu perkauman, agama untuk menghasut rakyat- Tuanku Muhriz


KUALA LUMPUR— Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan kerajaan baharu serta pemimpin politik tidak lagi membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut masyarakat. 


Tunaku Muhriz bertitah, sebaliknya kerajaan baharu harus memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya. 


“Beta turut menggesa agar kerajaan baharu menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap lebih tinggi,” demikian menurut titah perutusan Tuanku Muhriz sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.


Terdahulu, Tuanku Muhriz mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung selama dua hari, bermula semalam, lapor Bernama.


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja dan Sultan negeri-negeri turut berkenan berangkat hadir pada mesyuarat itu, yang juga dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.


Terdahulu, Majis Raja-Raja menyeru agar Perdana Menteri dan Menteri Besar di setiap negeri memikul tanggungjawab dan menggalas peranan besar berasaskan prinsip digariskan dalam Rukun Negara.


Tuanku Muhriz bertitah, dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang amat penting untuk memastikan agensi penguatkuasaan dan badan kehakiman, bebas daripada sebarang pengaruh luar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.


Baginda bertitah kerajaan baharu perlu mendukung dan memperkukuh prinsip-prinsip Rukun Negara yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong Keempat, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Sultan Zainal Abidin pada 1970.


Titah Tuanku Muhriz, semangat dan nilai-nilai prinsip Rukun Negara hendaklah seharusnya menjadi amalan serta pegangan semua rakyat dan bukan sekadar tulisan dalam bahan bacaan sahaja.


“Ini akan membuktikan bahawa kerajaan serius dalam menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan rakyat Malaysia,” titah Baginda.


Sehubungan itu, Baginda mencadangkan agar lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam majlis bersesuaian yang diketuai pemimpin dilantik dan bukan lagi dalam kalangan belia bersuara lantang. 


Selain itu, Tuanku Muhriz bertitah dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang amat penting untuk memastikan agensi penguatkuasaan dan badan kehakiman, bebas daripada sebarang pengaruh luar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Next Post Previous Post