Kastam Sarawak patah cubaan seludup sisa logam bernilai lebih RM2 juta

Kastam Sarawak berjaya merampas sisa logam bernilai lebih RM2 juta di Pelabuhan Senari dipercayai mahu dieksport ke luar negara.

KUCHING—Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya mematahkan cubaan menyeludup sisa logam di sini, menerusi Operasi Demeter VIII 2022 membabitkan rampasan bernilai bernilai RM2,168,200.


Pengarah Kastam Sarawak, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuching pada 12 Oktober lalu, jam 2.30 petang telah melakukan pemeriksaan di Pelabuhan Senari terhadap enam buah kontena yang diikrar sebagai ‘copper flakes’ dan ‘aluminium flakes’ bagi tujuan eksport ke luar negara.



Beliau berkata, hasil pemeriksaan rapi oleh pasukan serbuan mendapati terdapat kira-kira 158,284 kilogram (kg) sisa logam bernilai tinggi tanpa permit dan cukai dengan anggaran cukai RM204,820.


"Pemeriksaan awal mendapati barang yang diikrar tidak sama seperti dalam dokumen kastam yang diikrar oleh syarikat.


Kesemua muatan sisa logam adalah barangan larangan mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017 dan pengeksportan hendaklah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Semua kontena terbabit telah ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan, Jalan Gedung, Kuching. 


"Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a), Akta Kastam 1967, jika bersalah akan didenda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali," tegasnya.


Sehubungan itu, katanya, agen penghantaran dan pemilik syarikat pengeksport barangan terbabit telah ditahan manakala barang kes dirampas untuk siasatan lanjut pihak JKDM.


"Modus operandi yang digunakan syarikat itu ialah membuat pengikraran palsu serta perakuan tidak benar dengan mengikrar barangan sebagai ‘copper flakes’ dan ‘aluminium flakes’ bagi tujuan mengelak daripada mengemukakan permit daripada agensi berkaitan serta mengelak daripada membayar cukai.

Next Post Previous Post