Notification

×

Iklan

Iklan

Suami tular pukul, tendang isteri dipenjara tiga bulan, denda RM2,000

| November 22, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-22T07:30:46Z
Reduan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini. (Gambar kredit Kosmo)

KAJANG—Seorang lelaki yang videonya tular di media sosial kerana memukul dan menendang isterinya, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.


Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu ke atas ahli perniagaan, Reduan Mahamood, 58, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.


Tangkap layar video tular lelaki pukul dan tendang isteri di media sosial baru-baru ini. Gambar Facebook


Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 19 Nov lepas dan tambahan penjara sebulan jika gagal membayar denda.


Nik Siti Norazlini turut menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama kepada sesiapa sahaja termasuk isterinya, lapor Bernama.


“Kes ini bukan sahaja berkepentingan awam malah kepentingan kepada mangsa dan anak yang turut terlibat...saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu. Seorang isteri adalah pendamping bukannya punching bag,” katanya.


Reduan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Adrina Mohd Ariff, 45, dengan memukul dan menendang mangsa menggunakan tangan dan kaki di rumah mereka di Batu 9, Cheras di sini, pada 5.13 petang 14 Nov lepas.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.


Peguam Mohd Shafiq Ahmed Bazari yang mewakili Reduan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang mempunyai dua anak telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.


“Tertuduh menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi yang memerlukannya membeli ubat serta perlu kerap pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan selain dia penanggung utama keluarga,” kata peguam itu yang turut dibantu seorang lagi peguam mewakili tertuduh, Mohd Nezam Desa.


Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon hukuman sewajarnya sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa hadapan.


Baru-baru ini, dalam video berdurasi satu minit tujuh saat yang tular menerusi aplikasi TikTok itu memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa diheret dan ditendang di bahagian muka serta badan berkali-kali.


Dalam video itu, seorang kanak-kanak perempuan juga kelihatan menangis sambil mengangkat tangan sebagai tanda memohon maaf kepada individu berkenaan.

×
Berita Terbaru Update