Borang pencalonan dibatal, Peter Anthony fail semakan kehakiman Isnin ini

Peter Anthony ketika tiba di Dewan DSB Antanom untuk pencalonan Parlimen Tenom.

TENOM—Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony akan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Isnin ini berhubung pembatalan borang pencalonannya bagi kerusi Parlimen Tenom dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Beliau berkata semakan itu perlu dibuat bagi mahkamah menentukan keputusan jika beliau layak atau tidak untuk bertanding sebagai calon di kawasan Parlimen Tenom.


Katanya pembatalan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pusat dilakukan pada saat-saat akhir selepas beliau melepasi semua proses penamaan calon dengan baik dan lancar tanpa sebarang masalah.


"Semua prosedur itu telah kita patuhi dan dilaksanakan, termasuk mereka meminta bayaran RM15,000 (deposit pencalonan) juga dibayar, dokumen semua telah diperiksa dan mereka (SPR) memaklumkan kepada saya semua dokumen itu lengkap serta teratur," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Peter berkata beliau dimaklumkan bahawa pencalonannya dibatalkan atas beberapa sebab, namun beliau menolak jika ia berkaitan dengan kes mahkamah yang dihadapinya kerana sabitan kes itu telah digantung.


Parlimen Tenom bakal menyaksikan saingan lima penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH) Noorita Sual daripada DAP bertanding mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU14 berdepan Jamawi Jaafar (BN-UMNO), Ukim Buandi  (Parti Warisan), dan dua calon Bebas iaitu Riduan Rubin serta Peggy Chaw Zhi Ting.


Terdahulu tular di media sosial rakaman video kekecohan berlaku di luar pusat penamaan calon di Dewan DSB Antanom di sini apabila penyokong parti itu membuat rusuhan sehingga memaksa anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan berlaku insiden kekecohan di pusat penamaan calon itu dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau sedang menunggu laporan terperinci mengenainya.


Pada 26 Mei lepas, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah.


Pada 1 Ogos lepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan Peter bagi menggantung hukuman dan sabitan salah terhadapnya atas kesalahan menggunakan dokumen palsu itu.


Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan afidavit, hujahan bertulis dan hujahan lisan yang dikemukakan pihak pembelaan dan pendakwaan pada prosiding sebelum ini.

Next Post Previous Post