Abang Johari dedah gabungan PN+BN+GPS+GRS bentuk kerajaan Persekutuan

Abang Johari mengadakan sidang media khas kedudukan GPS di Parlimen Malaysia, di Kuching hari ini.

KUCHING-- Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mengambil keputusan untuk membentuk gabungan PN+ BN + GPS + GRS bagi membentuk kerajaan Persekutuan baharu yang stabil dan kukuh demi rakyat. 


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media hari ini berkata, tindakan tersebut demi untuk mengukuh dan menstabilkan negara dan kesejahteraan rakyat.


"Kita semua sedia maklum bahawa tiada sesebuah parti mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan setelah selesai PRU15 semalam. 


"Dunia dan negara kita bakal berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi sekarang dan keadaannya dijangka akan menjadi lebih genting pada tahun hadapan.


"Demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara kita terpelihara maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar yang segera," katanya. 


Kata Abang Johari, kerajaan persekutuan yang stabil dan kukuh demi rakyat akan berasaskan, menegakkan keluhuran perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC


"Selain itu, menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC


"Autonomi dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan kesihatan d. Perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak," jelasnya. 


Tambah Pengerusu GPS itu, fokus dan tanggungjawab utama sekarang haruslah kepada kestabilan Negara dan kesejahteraan rakyat.


Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan pembentukan kerajaan persekutuan, pagi tadi.


Muhyiddin dalam hantaran Facebook dipetik berkata, rundingan itu juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan ahli Parlimen bebas. 


"Insya-Allah, kerajaan persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” katanya yang turut dilihat hadir adalah Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Tan Sri Abdul Hadi Awang.


Pada PRU15, PN memenangi 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) menang 30 kerusi, GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan Sabah (tiga), bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia (satu).

Next Post Previous Post