Sarawak mainkan peranan percepat peralihan tenaga negara serantau - Abang Jo

Abang Johari ketika menghadiri acara Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) hari ini. Gambar kredit Pejabat Premier Sarawak

SINGAPURA— Sebagai penyedia tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia, Sarawak boleh memainkan peranan penting dalam mempercepat peralihan tenaga negara serantau dengan bekerjasama dengan negara jiran dan berkongsi sumbernya.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata agenda pertumbuhan negeri itu menyokong masa depan tenaga yang berdaya tahan dan mampan untuk kemakmuran serantau.



“Kos tenaga yang lebih rendah daripada kuasa hidro boleh diperbaharui turut memberi manfaat kepada pelanggan domestik, perindustrian dan pengeksport Sarawak dengan membekalkan mereka elektrik yang mampu milik, boleh dipercayai dan mampan.


“Menerusi syarikat utiliti milik penuh kerajaan kami Sarawak Energy, saya berbangga mengatakan bahawa Sarawak pada masa ini menawarkan purata tarif tanpa subsidi yang paling rendah di Asia Tenggara dan tenaga elektrik kami terutamanya adalah hijau,” katanya berucap pada Sidang Kemuncak Tenaga Singapura bersempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura ke-15 di Singapura hari ini.


Dalam memenuhi komitmen untuk mengurangkan pelepasan karbon dan kebergantungan kepada bahan api fosil, Abang Johari berkata Sarawak menyelaras Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 bagi mengembangkan pelan tindakan ekonomi strategik di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dilancarkan pada 2008.



Beliau berkata hasilnya, campuran penjanaan berjaya beralih daripada 92 peratus bahan api fosil pada 2010 kepada 70 peratus kuasa hidro menjelang 2015, dilengkapi dengan sumber termal untuk keselamatan tenaga.


“Peralihan ini telah menyahkarbon intensiti pelepasan sebanyak 72 peratus antara 2010 dan 2020 seterusnya memacu pertumbuhan sosioekonomi Sarawak yang mampan pada masa ini," katanya.


Terdahulu, Singapura dan Sarawak hari ini mengumumkan mereka akan bekerjasama demi kepentingan bersama dalam penangkapan dan penyimpanan karbon serta kredit karbon.


Satu kumpulan kerja bersama akan ditubuhkan untuk bertukar-tukar dasar dan mengenal pasti projek yang berpotensi untuk dilaksanakan, menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura.


Kementerian itu menyatakan bahawa Menteri Keduanya, Dr Tan See Leng dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan pertemuan hari ini di luar acara Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW).


“Singapura dan Sarawak gembira dengan hubungan di antara mereka yang telah lama terjalin,” kata Tan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.


“Kumpulan kerja itu mengesahkan komitmen kami untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang berfikiran sama dalam bidang kepentingan bersama seperti penangkapan dan penyimpanan karbon dan kredit karbon. Kerjasama antarabangsa adalah penting untuk menggalakkan tindakan menangani iklim serantau dan global bagi mencapai matlamat dalam Perjanjian Paris,” katanya.


Sementara itu Abang Johari berkata, perkongsian itu akan menjadi contoh bagaimana kerjasama antarabangsa boleh mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih, hijau dan masa depan yang lebih mampan.


“Perkongsian ini bertujuan menyokong ekonomi sambil berjuang menangani isu global dalam perubahan iklim.


“Kita perlu memikirkan semula pendekatan terhadap pembangunan dalam konteks bumi yang semakin panas dan semakin saling berhubung kait. Kerjasama antarabangsa ini adalah satu langkah penting ke hadapan dan saya mengharapkan kerjasama yang berjaya,” katanya.


Dalam kenyataan yang sama, kementerian itu berkata, Singapura dan Sarawak berkongsi hubungan baik yang telah lama terjalin dan “perdagangan serta pelaburan di antara kedua-duanya selama ini telah berkembang seperti dalam bidang pertanian”.


“Perubahan iklim dan kemampanan adalah bidang kerjasama baharu dan kumpulan kerja mengenai penangkapan dan penyimpanan karbon serta kredit karbon adalah hasil daripada hubungan baik tersebut,” kata kementerian itu.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post