Remaja, pelajar antara 22 individu ditahan sertai parti liar di banglo

22 individu terlibat dalam pesta liar dalam serbuan di sebuah rumah inap di Batu Ferringhi, Remaja pelajar antara 22 individu ditahan

GEORGE TOWN— Polis menahan 22 individu termasuk enam remaja bawah umur dan seorang pelajar sekolah kerana terlibat dalam pesta liar dalam serbuan di sebuah rumah inap di Batu Ferringhi, dekat sini Khamis lepas.


Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu banglo tiga tingkat itu pada 1.40 pagi dan menahan 14 lelaki serta lapan perempuan kesemuanya berusia 16 hingga 21 tahun.


"Polis turut merampas dua peket ketamin seberat 0.9 gram dan tiga biji pil ekstasi dianggar bernilai RM195.


"Siasatan awal mendapati penganjur merupakan seorang lelaki berusia 19 tahun dengan dia menyewa banglo tersebut pada kadar RM1,000 untuk satu malam manakala kesemua pengunjung menerima jemputan tertutup ke parti itu menerusi aplikasi WhatsApp," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


Soffian berkata pengunjung lelaki perlu membayar RM80 hingga RM100 seorang manakala pengunjung perempuan tidak dikenakan bayaran.


Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati enam lelaki positif terhadap dadah dan mereka direman enam hari bagi siasatan mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Menurut Soffian kesemua 22 individu bersama penjaga serta waris mereka  turut diberi kaunseling dan ceramah oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.


"Kebanyakan yang ditahan bekerja di bengkel, pusat beli-belah dan peniaga. Polis turut mengambil keterangan pemilik rumah itu untuk membantu siasatan," katanya.


Sementara itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Mohd Azizon Noordin pada sidang media sama berkata pihaknya menahan 10 wanita dan empat lelaki kerana minum minuman memabukkan dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Lebuh Chulia, awal pagi semalam.


“Dalam Operasi Noda Pusat Hiburan bersama IPD Timur Laut pada 1.30 pagi itu, kami memeriksa 83 pengunjung beragama Islam sebelum menahan 14 daripadanya yang berusia 18 hingga 34 tahun termasuk empat wanita Indonesia,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.