Notification

×

Iklan

Iklan

Jho Low, bapa dijatuhi hukuman penjara kerana hina mahkamah

| Oktober 17, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-10-17T08:51:28Z
Jho Low

KUALA LUMPUR— Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng dijatuhi hukuman penjara kerana melanggar pembekuan aset atau perintah injunksi Mareva yang dikeluarkan mahkamah pada Mac dan April tahun ini yang memerlukan mereka mendedahkan lokasi keberadaan dan aset mereka.


Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz mengeluarkan waran komital itu selepas membenarkan permohonan peguam 1Malaysia Development Berhad, Siva Kumar Kanagasabai.


1MDB dan anak syarikatnya Global Diversified Investment Company Ltd (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Ltd) memfailkan permohonan komital itu pada Mei, selepas tidak menerima sebarang maklum balas daripada defendan berdasarkan injunksi Mareva.


Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, Siva Kumar berkata hakim juga memerintahkan kedua-duanya membayar kos RM5,000.


"Hakim juga menjatuhkan hukuman penjara sehingga penghinaan itu diselesaikan,” jelas peguam itu.


Semasa prosiding hari ini, kedua-dua individu iaitu anak dan bapa tidak diwakili peguam kerana peguam mereka daripada Tetuan Valen, Oh & Partners telah menarik diri pada Julai lepas.


Pada 12 Ogos lepas, mahkamah membenarkan 1MDB dan Global Diversified Investment Company memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap mereka.


Kedua-dua syarikat itu memperoleh injunksi ex-parte Mareva pada 15 Mac, dan ia dilanjutkan pada 20 April, iaitu syarikat tersebut memohon untuk membekukan aset US$1.03 bilion milik Jho Low dan aset bapanya US$401.5 juta, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1MDB.


Jho Low dan bapa sepatutnya mendedahkan keberadaan mereka kepada 1MDB dan anak syarikat, dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah pada 15 Mac dan 20 April atas arahan peguam mereka. 


Mereka tidak berbuat demikian.


Berikutan kegagalan mereka mematuhi seperti yang diarahkan, 1MDB dan anak syarikatnya memulakan prosiding penghinaan itu.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update