PRU15: PAS Sarawak kekal tanding 5 kerusi Parlimen di Sarawak
KUCHING-- Parti Islam SeMalaysia (PAS) Sarawak kekal untuk bertanding lima kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Ketua Penerangan PAS Sarawak Syamsul Bahri Mohd berkata, lima kerusi itu adalah Parlimen Petra Jaya, Parlimen Kota Samarahan, Parlimen Batang Sadong, Parlimen Batang Lupar dan Parlimen Sibuti.
"Hasil pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan, PAS Sarawak masih kekal dengan keputusan untuk bertanding 5 kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU14 lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Syamsul berkata, setakat ini belum ada keputusan yang ditetapkan untuk menambah atau mengurangkan jumlah kerusi yang ditandingi.
"Belum ada keputusan yang ditetapkan sama ada terdapat pengurangan atau penambahan kerusi mahupun pertukaran kerusi," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerjasama dengan BERSATU di bawah Perikatan Nasional (PN) masih dalam perbincangan kerana strategi di Sarawak amat berbeza dengan Semenanjung daripada segi landskap politiknya.
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.