Projek Lebuhraya Bukit Kukus : Harga nyawa terkorban tidak sampai RM10,000 seorang


PULAU PINANG-- Nilai nyawa terkorban tidak sampai RM10,000 seorang, insiden tanah runtuh Jalan Bukit Kukus yang mengorbankan sembilan nyawa pada 19 Oktober 2018, sekali lagi telah dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.


Memetik laporan Buletin Mutiara, perkara yang dibangkitkan kali ini atas denda RM35,000 setiap satu yang dikenakan ke atas pengarah projek projek jalan berkembar Paya Terubong dan syarikat pembinaan.


Lee Khai Loon (PH – Machang Bubuk) berkata beliau terkejut apabila pengarah projek dan syarikat pembinaan masing-masing didenda RM35,000 atas pertuduhan pindaan gagal menyediakan prosedur kerja selamat pada 19 Februari tahun ini.


Beliau kemudian meminta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh menjelaskan tentang jumlah denda itu.


Jagdeep berkata adalah penting untuk mengupah penilai bebas untuk projek itu.

 

“Sebagai ahli exco pun, jika tidak betul, saya akan kata begitu. Amat tidak adil jika sembilan nyawa terkorban dengan kos RM70,000 dan jika anda membuat pengiraan, satu nyawa bernilai kurang daripada RM10,000.


“Jadi, kita mesti mengambil tindakan di peringkat negeri dan kebangsaan – untuk meminda undang-undang atau menggantikannya. Dan saya pasti kita akan melihat sesuatu yang positif berlaku,” jawab Jagdeep (PH – Datok Keramat).


Pertuduhan itu mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sebelum ini, Jagdeep memberitahu Joseph Ng Soon Siang (PH – Air Itam) bahawa kerajaan Pulau Pinang, melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang, telah mengambil beberapa langkah untuk mengelakkan kemalangan seperti itu berulang.


Beliau berkata antara langkah paling penting ialah kontraktor utama perlu mengupah penilai bebas untuk memantau, menyelia dan mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan orang awam, harta benda awam dan alam sekitar.


Kontraktor utama, tambah Jagdeep, juga dikehendaki melantik jurutera perunding bertauliah untuk mereka menyelia dan menyediakan pelan pembinaan bagi kerja tanah sementara di tapak.


Beliau juga berkata semua laluan air semula jadi di tapak itu mesti dikaji, diselenggara dan disalurkan tanpa menjejaskan aliran sedia ada.


Jagdeep berkata projek jalan berkembar yang menghubungkan Paya Terubong dan Relau itu siap dan dibuka untuk kegunaan awam pada Mei 2021.

Next Post Previous Post