Perlu ada format standard bagi tuntutan banjir - Uggah
![]() |
Uggah berkata, apa jua keputusan yang dibuat oleh Kabinet kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu hendaklah boleh diguna pakai di Sarawak |
KUCHING-- Satu format standard mengenai pampasan yang boleh dituntut oleh mangsa banjir di seluruh negara perlu diwujudkan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata apa jua keputusan yang dibuat oleh Kabinet kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu hendaklah boleh diguna pakai di Sarawak, lapor Bernama.
“Kita perlu tahu apa yang boleh dituntut oleh mangsa banjir sebagai pampasan. Bolehkah mereka membuat tuntutan bagi kenderaan, peralatan elektrik, ternakan dan tanaman yang musnah akibat banjir seperti di Semenanjung?
“Perkara itu telah dibangkitkan pada sidang Parlimen baru-baru ini yang mempersoal mengapa Sarawak dikecualikan daripada bayaran pampasan. Seorang timbalan menteri menjawab bahawa tiada permohonan sedemikian daripada negeri ini,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Uggah, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) turut meminta kerajaan persekutuan menjelaskan sama ada mangsa yang enggan berada di pusat pemindahan layak menerima ‘Wang Ihsan Banjir.’
Beliau turut meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membekalkan sistem komunikasi yang berkesan bagi mendekati petempatan dan rumah panjang di kawasan pedalaman.
Katanya kini, komunikasi antara penduduk di kawasan terbabit dengan sekretariat JPBN adalah melalui radio amatur.
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.