Perkhidmatan awam jadi 'enjin' capai PCDS 2030, kata Abang Johari

Gambar kredit UKAS

KUCHING—Perkhidmatan awam di Sarawak akan menjadi satu daripada ‘enjin’ yang memacu negeri itu untuk mencapai matlamat ditetapkan di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan keyakinannya terhadap potensi perkhidmatan awam negeri dalam menyampaikan hasil berdasarkan inovasi mereka yang dipaparkan selama ini.


Bagaimanapun, beliau mengakui menguruskan strategi berkenaan ialah tugas yang sukar dan mencabar.


“Individu dalam perkhidmatan awam seorang yang inovatif dan boleh melihat jauh, jadi anda (perkhidmatan awam) ialah jentera untuk mencapai (PCDS 2030) dan saya pemandunya. Saya boleh memandu dengan baik jika enjinnya bagus,” katanya.


Bercakap pada majlis Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak di sini malam tadi, Abang Johari berkata kejayaan PCDS 2030 akan membantu menjadikan Sarawak sebuah negeri maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.


“Menerusi teknologi, ia akan memberi anda hasil yang kukuh yang sangat positif dan mungkin (mencipta) kaedah baharu tentang bagaimana anda menguruskan tugas yang diberikan, sama seperti PCDS 2030,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post