SPR perlu perjelas peningkatan mendadak pengundi di Sabah

Peningkatan jumlah pengundi berdaftar di Sabah, SPR perlu perjelas peningkatan mendadak pengundi di Sabah
Gambar hiasan

KOTA KINABALU— Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan berhubung peningkatan mendadak jumlah pengundi berdaftar di Sabah.


Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata peningkatan mendadak itu meragukan apabila jumlah pengundi berdaftar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti meningkat lebih 50 peratus berbanding pengundi PRU14.


Menurutnya terdapat peningkatan pengundi bumiputera Islam yang tinggi di kawasan penduduk Kadazan Dusun Murut (KDM) antaranya di Parlimen Penampang dan perkara itu memerlukan penjelasan supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.


"Pertambahan jumlah pengundi yang terlalu tinggi secara tidak langsung memberi kesan terhadap parti politik dalam pilihan raya kali ini (PRU15)...jumlah tersebut amat meragukan," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Media sebelum ini melaporkan peningkatan mendadak pengundi di Sabah iaitu daripada 1,064,686 orang ketika PRU14 pada 2018 kepada 1,638,806 orang tahun ini untuk PRU15.


Sementara itu, Bung Moktar juga meminta supaya SPR mempertimbangkan kelayakan undi awal atau undi pos kepada mahasiswa terutama yang baharu mendaftar di universiti masing-masing bagi membolehkan mereka mengundi pada PRU15.


Menurutnya hak golongan itu untuk memilih tidak boleh dipinggirkan terutama apabila pengundi muda berusia 18 tahun dibenarkan mengundi melalui pendaftaran secara automatik berkuat kuasa 15 Dis tahun lepas.


"Kita sedia maklum penuntut unversiti termasuk dalam kelompok pengundi 18 tahun yang kini sedang menuntut dan sebahagiannya baru sahaja mendaftarkan diri bagi memulakan sesi pengajian di seluruh unversiti di negara ini.


“Justeru kumpulan ini perlu diberikan kelonggaran membuang undi awal atau undi pos supaya hak mereka sebagai pemilih tidak terabai," katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.