Doktor dari Malaya boleh mohon permit kerja 5 tahun - Abang Jo

Sekitar Majlis Makan Malam Rangkaian sempena ulang tahun Persatuan Hospital-Hospital Swasta Malaysia (APHM) ke-50 di sini malam tadi. Gambar kredit Ukas

KUCHING-- Golongan doktor dari Semenanjung Malaysia yang bertugas di pusat perubatan swasta di Sarawak boleh memohon permit kerja tempoh lima tahun secara terus daripada kerajaan negeri tanpa perlu lagi memperbaharui permit kerja setiap tahun.


Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pengeluaran permit kerja jangka panjang merupakan insiatif kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai tenaga kerja berkemahiran menyumbang kepakaran dalam pembangunan dan pertumbuhan ekononi negeri itu, lapor Bernama.



“Permit kerja untuk tempoh lima tahun meliputi golongan profesional dari luar yang bertugas di Sarawak dalam semua sektor ekonomi daripada sektor perindustrian hingga perkhidmatan termasuk sektor perubatan. Anda tidak perlu memperbaharui permit kerja setiap tahun.


“Kita memberi kelonggaran ini supaya ahli profesional boleh bekerja dan tinggal lebih lama  di Sarawak. Kita boleh melaksanakan peraturan ini kerana soal imigresen adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan malam Persatuan Hospital Swasta Malaysia, malam tadi.



Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan menyemak semula keputusan hanya membenarkan visa 14 hari kepada pelancong perubatan yang datang ke Sarawak.


“Kita benarkan orang datang ke Sarawak dan kebiasaanya kita beri visa untuk tempoh tiga bulan. 


Saya tidak tahu mengapa hanya 14 hari untuk pelancong perubatan. Saya akan memmperbetulkannya terutama kepada mereka yang datang dari luar khusus untuk mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.

Next Post Previous Post