Buat laporan palsu disamun elak didenda JPN hilang kad pengenalan

Kehilangan kad pengenalan seorang lelaki membuat laporan polis menjadi mangsa samun, Buat laporan palsu disamun elak didenda JPN hilang kad pengenalan

KUCHING-- Mahu mengelak dikenakan denda pihak Jabatan Pandaftaran Negara(JPN) kerana kehilangan kad pengenalan, seorang lelaki sanggup membuat laporan polis menjadi mangsa samun hari ini.


Bagaimanapun, tembelang penganggur berusia 25 tahun itu terbongkar selepas laporan yang dibuat pada jam 9 pagi meragukan pihak polis.


Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah membuat soal siasat ke atas suspek pada jam 11.45 pagi.


"Dalam laporan yang  dibuat oleh suspek, ketika dia bersama tiga orang rakannya sedang melepak, mereka telah didatangi tiga orang lelaki yang tidak dikenali di perhentian bas, Kampung Batu Kitang.


"Tiga orang lelaki terbabit telah memeriksa beg sandang mereka dan kemudiannya beredar. Suspek kemudian menyedari beg duit yang berada dalam beg sandangnya yang mengandungi kad pengenalan dan lesen memandu telah hilang dan dipercayai telah diambil oleh ketiga-tiga lelaki pada kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya,suspek juga menyatakan tidak dapat mengecam wajah ketiga-tiga lelaki terbabit dan mengesyaki mereka berasal dari Kampung Batu Kitang. 


"Hasil soal siasat yang telah dijalankan mendapati bahawa laporan yang telah dibuat oleh suspek menyatakan  dia telah disamun adalah palsu dan direka-reka. 


"Dia sengaja membuat laporan polis berkenaan kehilangan kad pengenalan dan menyatakan dia telah disamun," katanya.


Menjelas lanjut, katanya, ini kerana suspek mahu mengelakkan daripada membayar denda di JPN.


"Ini merupakan kali ketiga suspek kehilangan kad pengenalannya.


"Sebaik mengetahui bahawa laporan asal suspek adalah palsu, pihak polis membuat siasatan kes ini mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.