Sarawak tingkatkan persiapan hadapi Monsun Timur Laut

Datuk Douglas Uggah 

KUCHING-- Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi musim monsun timur laut yang diramal membawa hujan lebat dan ribut petir antara Disember hingga Januari tahun depan.


Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata seramai 1,590 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan bertugas sepanjang tempoh itu dan akan dibantu 9,187 anggota pasukan Bomba Komuniti dan 8,624 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT).


Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti 310 lokasi hotspot banjir di seluruh negeri, 73 daripadanya di Bahagian Sibu, 52 di Sri Aman, 42 di Kuching, 40 masing-masing di Samarahan dan Miri, 32 di Bintulu dan 31 di Limbang.


“Jabatan juga telah mengenal pasti 97 lokasi yang perhubungan jalan raya paling mudah terputus, 42 daripadanya terletak di Sibu. Terdapat juga 77 lokasi yang terdedah kepada tanah runtuh, dengan Sibu sekali lagi mencatatkan lokasi terbanyak iaitu 32 kawasan,” katanya.


Dari segi logistik, beliau berkata JBPM Sarawak telah menyediakan 48 bot, 16 lori, 87 kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan sebuah helikopter, manakala polis akan membekalkan 1,663 anggota, 52 lori, 109 kenderaan 4WD, 119 kereta, 35 van, sebuah ambulans dan sebuah bas.


Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata bagi operasi di sungai dan laut, JBPM Sarawak menyediakan 647 pelbagai aset seperti jet ski, bot dan jaket keselamatan.


Beliau berkata pasukan Pengawal Pantai Sarawak yang ditubuhkan tahun lepas juga akan menggerakkan enam bot pemintas, enam bot panjang dan 100 anggota sebagai persediaan menghadapi sebarang bencana dalam tempoh itu manakala terdapat 280 stesen telemetri yang terdiri daripada 151 stesen telemetri taburan hujan, 23 stesen telemetri paras air dan 106 telemetri gabungan taburan hujan dan paras air beroperasi di seluruh negeri bagi memantau keadaan cuaca.


“Pihak polis setakat ini telah mengenal pasti 631 pusat pemindahan yang mampu menempatkan 188,360 mangsa di sekolah dan pusat komuniti, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan depoh mereka untuk makanan dan keperluan lain dengan 1,971 pegawai dan sukarelawan berada di pusat tersebut,” katanya. 


Uggah berkata kursus tiga hari akan diadakan di Sibu bulan depan bagi mempersiapkan mereka yang terlibat dalam operasi menyelamat semasa musim tengkujuh.


Uggah turut mengucapkan penghargaan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menyumbangkan 6,400 khemah kepada JPBN untuk digunakan di pusat pemindahan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post