Malaysia kekalkan 54 peratus kawasan hutan, PM

Perubahan iklim yang serius dan pengurangan ketara hutan belantara akibat pembangunan, Malaysia kekalkan 54 peratus kawasan hutan
Ismail Sabrisemasa menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77 di sini, Jumaat. Gambar kredit Pejabat Perdana Menteri Twitter

NEW YORK-- Ketika dunia berhadapan dengan perubahan iklim yang serius dan pengurangan ketara hutan belantara akibat pembangunan, Malaysia masih mempunyai 54 peratus kawasan hutan di seluruh negara. 


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin peratusan itu akan bertambah berikutan langkah penghutanan semula  yang agresif oleh Malaysia.


Beliau berkata sebagai satu daripada hanya 17 negara yang memiliki kepelbagaian-bio di dunia, Malaysia sedar akan tanggungjawab untuk mempertahankan dan memelihara sumber asli kepada generasi yang bakal mewarisi dunia.


"Semasa Sidang Kemuncak Bumi pada 1992, Malaysia telahpun berikrar untuk mempertahankan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan hutannya," kata Perdana Menteri semasa menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77 di sini, Jumaat.


Beliau berkata perubahan iklim merupakan masalah sejagat yang melibatkan seluruh dunia, sambil memberi pengalaman Malaysia sendiri yang dilanda banjir paling serius dalam sejarah sehingga mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah US$1.4 bilion (RM6.1 bilion) tahun lepas.


Malapetaka itu menyebabkan ramai terkorban dan hampir 100,000 lagi terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara, kata Ismail Sabri. 


"Situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di beberapa negara lain. Jelas sekali, langkah-langkah mitigasi dan adaptasi perlu diteruskan," katanya.


Keadaan ini memperkuatkan lagi hakikat bahawa negara maju memikul tanggungjawab untuk meningkatkan bantuan kepada negara membangun, dengan memenuhi komitmen menyediakan peruntukan US$100 bilion setahun tanpa syarat. 


"Ini dapat merealisasikan tindakan terhadap perubahan iklim yang sepatutnya dilaksanakan sejak 2020," kata Perdana Menteri, yang mengulangi komitmen Malaysia dalam menjalankan tanggungjawab dan peranannya bagi memastikan pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar. 


Dalam konteks ini, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh Malaysia, kata Ismail Sabri, yang memberi contoh seperti langkah memperkenalkan standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memenuhi keperluan bagi tujuan pembangunan mapan dalam industri kelapa sawit.


Beliau berkata Malaysia juga komited untuk mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau, sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.


“Dalam hal ini, Malaysia meletakkan sasaran bagi mencapai 31 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui, menjelang 2025. 


Malaysia juga komited untuk mencapai status negara sifar pelepasan Gas Rumah Hijau seawal 2050,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.