Kuching City tamat cabaran Liga Premier di tempat ketiga

Gambar kredit Kuching City FC

KUALA LUMPUR-- Kuching City FC mengesahkan tempat ketiga dalam saingan Liga Premier 2022 biarpun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 berdepan Perak FC pada aksi terakhir di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.


Hasrat mengutip tiga mata penuh skuad pelawat kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu selepas berada di depan sepanjang permainan hasil jaringan sendiri Sunday Afolabi pada minit ke-16, tidak kesampaian susulan gol penyamaan Perak menerusi Luciano Guaycochea pada minit ke-86.


Keputusan itu bagaimanapun sudah memadai buat Kuching City untuk menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan keseluruhan 34 mata selepas mengumpul 10 kemenangan serta masing-masing empat keputusan seri dan tewas.


Satu mata dikutip Perak pula menyaksikan juara Piala Malaysia 2018 itu berada di kedudukan kedua tercorot liga, berkongsi lapan mata dengan Skuad Projek FAM-MSN selepas hanya mengumpul keseluruhan lapan mata dengan rekod lima kemenangan, dua seri dan tewas 11.


Pada masa sama, Terengganu FC (TFC) II mencatat kemenangan 2-0 ke atas Skuad Projek FAM-MSN di hadapan penyokong sendiri pada pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.


Pemain tengah, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali muncul wira tuan rumah menerusi dua gol pada separuh masa pertama yang dijaringkan masing-masing pada minit ke-13 dan 32 untuk memastikan pasukan mengutip tiga mata pada aksi terakhir.


Kemenangan itu menyaksikan TFC II melengkapkan senarai empat pasukan teratas di kedudukan keempat dengan keseluruhan 33 mata selepas mengutip 10 kemenangan, tiga seri dan tewas lima sementara kekalahan itu menyaksikan Skuad Projek FAM-MSN kekal tercorot.


Dalam pada itu, jaringan tunggal penyerang gantian Muhamad Rafie Mat Yaacob pada minit ke-74 menghadiahkan kemenangan 1-0 buat UiTM FC ketika menentang PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras.


Biarpun tewas, PDRM berjaya menamatkan saingan Liga Premier di atas UiTM dengan kelebihan satu mata selepas mengumpul keseluruhan 21 mata hasil enam kemenangan dan tiga keputusan seri dicatat sepanjang musim ini.


Gelaran juara Liga Premier antara Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Kelantan FC akan diketahui pada 30 Sept apabila masing-masing dijadual melengkapkan perlawanan musim ini berdepan Selangor FC 2 dan Kelantan United FC.


JDT II kini menerajui saingan liga di tempat teratas selepas mengumpul keseluruhan 39 mata sementara Kelantan kedua dengan 36 mata.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post