Kementerian Pertanian Sarawak kini dikenali Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah

Kementerian Pertanian Sarawak dikenali Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah

Abang Johari semasa menyampaikan amanatnya. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak


KUCHING-- Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak kini dikenali sebagai Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah berkuat kuasa hari ini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Beliau berkata penamaan semula kementerian yang diterajui Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom itu dibuat seiring dengan langkah Sarawak menuju ke arah pertanian mampan dengan tumpuan bukan sahaja kepada pengeluaran makanan tetapi juga dalam menerima teknologi pertanian baharu.


Simbolik perasmian COSAFS2022 oleh Premier Sarawak. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak


“(Kerajaan) Sarawak memberi penekanan kepada transformasi digital dalam pertanian dengan menyediakan tanah yang akan dijadikan taman agro, sama seperti taman perindustrian dan tanah ini akan dibahagikan supaya sektor swasta boleh memulakan industri makanan mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres bagi Pertanian Mampan dan Sekuriti Makanan (COSFAS) 2022 di sini.


Beliau berkata taman agro berkenaan akan dilengkapi dengan infrastruktur yang diperlukan termasuk kemudahan digital bertaraf 5G bagi membolehkan ladang sentiasa dipantau dan diuruskan melalui peranti digital dari mana-mana lokasi dan pada bila-bila masa.


“Sarawak turut menyumbang ke arah pertanian mampan dengan menghasilkan hidrogen sebagai tenaga hijau utama menggerakkan jentera. Menerusi gabungan teknologi dan tenaga hijau ini, kita bolah membangunkan pertanian dan industri makanan mampan,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.