Baram banjir 7 kali setahun?


BARAM-- Tidak kurang tujuh kali setahun dilanda bah, begitulah nasib penduduk dan pelajar sekolah di sini, kata Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Sarawak Abun Sui Anyit. 


Katanya, berdasarkan kajian oleh pakar alam sekitar, banjir di kawasan berkenaan disebabkan oleh perbuatan penebangan pokok berleluasa dari aktiviti pembalakan. 



Tambahnya, selain itu penebangan pokok untuk perladangan mega oleh kerajaan melalui syarikat perladangan gergasi.


"PH Sarawak melihat dengan dekat keadaan banjir yang sedang melanda  kampung-kanpung di Baram seperti Long Bemang termasuk sekolah-sekolah. 


"Kawasan ini dilaporkan mengalami banjir tidak kurang 7 kali dalam setahun," katanya dalam kenyataan hari ini. 


 

Tegas Abun, disebabkan aktiviti penebangan pokok di kawasan berkenaan, rakyat di situ terpaksa menanggung kesan apabila sungai menjadi cetek. 


"Dan ini menyebabkan banjir kepada rumah-rumah panjang termasuk sekolah-sekolah di sepanjang sungai," ujarnya. 


Oleh itu, beliau meminta kerajaan dan pembalak serta syarikat ladang menyelesaikan masalah banjir ini sekali gus ke tempat lebih selamat tanpa banjir dengan kos ditanggung oleh kerajaan dan syarikat.


"Syarikat-syarikat dan kerajaan tidak boleh lepas tangan selepas mengaut keuntungan berbillion ringgit dan membiarkan penduduk rumah panjang mengalami musibah banjir hampir setiap kali hujan lebat berapa hari walau bulan musim tengkujuh.


"Kita menggesa kerajaan Sarawak supaya jangan hanya membantu menghantar bantuan makanan sahaja tetapi bantulah mangsa banjir ini selesaikan masalah ini dengan tuntas," tegasnya lagi. 

Next Post Previous Post