Sabah komersialkan varieti baharu avocado, buah tarap hasil penyelidikan 20 tahun

Kedua-dua varieti ini boleh ditanam secara komersial dan jangka matang lebih cepat - Jeffery. Gambar hiasan

TAWAU—Sabah akan mengkomersialkan varieti baharu avocado iaitu QAV 3 dan buah tarap (QTRP 1) hasil penyelidikan yang dijalankan di Stesen Penyelidikan Pertanian Quoin Hill di sini sejak 20 tahun lepas.


Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffery Kitingan berkata penghasilan varieti itu membawa impak baik kepada perkembangan pertanian negeri termasuk memberi lebih banyak pilihan kepada pengusaha pertanian ke arah mempelbagaikan penghasilan produk tanaman secara komersial dan berkualiti di Sabah.


"Kedua-dua varieti ini boleh ditanam secara komersial dan jangka matang lebih cepat, antara ciri istimewa tanaman bagi QAV 3 ialah dapat mengeluarkan buah seawal dua tahun dan mampu menghasilkan 10 hingga 15 tan buah setahun serta harga pasaran boleh mencecah RM20 satu kilogram, dan enak.


"Bagi QTRP 1 pula, pokok tarap yang sihat akan mula mengeluarkan buah selepas empat hingga lima tahun penanaman dan satu pokok tarap mampu menghasilkan sehingga 100 biji buah yang lebih besar, enak serta harga pasaran boleh mencecah RM25 hingga RM30 sebiji," katanya.


Jeffery yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-65 Stesen Penyelidikan Pertanian Bukit Quoin dan pelancaran varieti QAV 3 dan QTRP 1 di sini hari ini.


Beliau turut berharap Jabatan Pertanian Sabah melalui Bahagian Penyelidikan dan Inovasi terus berusaha menghasilkan pelbagai penemuan varieti yang mampu membantu masyarakat tani di negeri ini bagi meningkatkan taraf sosioekonomi.


Sementara itu katanya, Sabah merekodkan 478,154.032 tan metrik eksport pelbagai hasil tanaman dengan nilai RM22.2 bilion pada tahun lepas.


"Walaupun tahap kecukupan makanan bagi sayur-sayuran di Sabah hanya mencapai 86 peratus iaitu 41,490 tan pengeluaran tempatan, kita juga mengeksport 943.44 tan sayur-sayuran dengan nilai RM3.72 juta ke Brunei Darussalam pada tahun lepas.


"SSL (tahap sara diri) bagi buah-buahan tempatan adalah 117 peratus dengan pengeluaran 123,132 tan dan Sabah mampu mengeksport sebanyak 22,105 tan bernilai RM52.05 juta, daripada jumlah itu eksport Pisang Sabah mendominasi pasaran buah-buahan ke Semenanjung dan Brunei sebanyak 20,258.4 tan (91.6 peratus) bernilai RM42.06 juta," katanya.


Sementara itu dalam sidang media, Jeffery berkata kawasan stesen penyelidikan pertanian yang terdapat di negeri ini berpotensi dijadikan sebagai kawasan ekopelancongan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post