Premis perniagaan di Bau dikesan sorok 336 paket minyak masak 1kg

Premis perniagaan di Bau, Paket minyak masak, Minyak masak bersubsidi, Operasi Anti Sorok
Antara rampasan minyak masak paket semasa serbuan di dua premis hari ini. Gambar kredit KPDNHEP

KUCHING—Sebuah premis perniagaan di Bau dikesan menyorok 336 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi polibeg 1 kg dalam Operasi Anti Sorok yang dilakukan hari ini.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Peter J. Berinus Agang berkata, premis terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan bekalan 1961 iaitu menyorok barang kawalan bersubsidi minyak masak polibeg 1 kilogram (kg).


Gambar kredit KPDNHEP


"Sejumlah 336 kg minyak masak subsidi polibeg 1kg telah dirampas dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM840," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambahnya, dalam pada yang sama, satu lagi kes direkodkan di sebuah premis perniagaan Jalan Song, Kuching, disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu kesalahan menjual barang kawalan dengan mengadakan pembelian bersyarat.


Gambar kredit KPDNHEP


"Sejumlah 693 kg minyak masak subsidi polibeg 1 kg telah dirampas dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM1,732," ujarnya.


Peter menegaskan kedua-dua kes ini jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.


Gambar kredit KPDNHEP


Dalam pada itu, beliau memberitahu, pelaksanaan Kempen Anti Sorok ini dilihat menunjukkan impak positif di kalangan pengguna dan peniaga.


"Untuk rekod statistik, bermula Januari 2022 hingga 2 Ogos 2022, sebanyak 720 kes telah dihasilkan yang melibatkan pelbagai akta yang dikuatkuasa oleh kementerian dengan jumlah nilai rampasan RM5,764,003.50 dan jumlah nilai kompaun adalah sebanyak RM502,500.00.


"Selain pelaksanaan Kempen Anti Sorok, KPDNHEP Sarawak sentiasa serius membendung kegiatan penyelewengan barang kawalan subsidi yang menjadi penyumbang utama kepada ketirisan subsidi dan gangguan bekalan barang kawalan di pasaran seperti mengadakan operasi bersepadu agensi penguatkuasaan di sempadan Sarawak," tambahnya.


Tegasnya lagi, KPDNHEP Sarawak ingin memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit atau bersubahat dengan melakukan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan/subsidi bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas oleh pihak berkuasa.


Selain itu, Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan/subsidi bagi memastikan penyelewengan ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.


"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my atay Ez ADU KPDNHEP," ujarnya.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.