Abang Johari umum pelan induk baharu bangunkan Limbang

Abang Johari menandatangani plak sempena perasmian Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Raya di Limbang hari ini.

LIMBANG—Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini megumumkan pelan induk baharu bagi membangunkan LImbang secara menyeluruh.


Beliau berkata, pelan induk itu meliputi pembangunan untuk kawasan di seberang sungai dan kawasan bandar sedia ada.



“Ada cadangan pula, kalau dah siap jambatan Sungai Limbang kita akan adakan pelan induk baharu untuk Limbang bagi membangunkan kawasan  diseberang  Sungai dan kawasan bandar sedia ada,” katanya.


Abang Johari berkata demikian pada majlis perasmian Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Raya disini hari ini.


Turut sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah  Datuk Dr Abdul Rahman Ismail,  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Kerajaan Sarawak  Dato Sri  Mohamad Abu Bakar  Marzuki dan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang.


Abang Johari memberitahu walaupun baharu mentadbir Sarawak dalam tempoh lima tahun, namun beliau mempunyai perancangan untuk membangunkan infrastruktur jalan raya hingga ke Lawas.


Menurutnya, sebanyak RM1.5 bilion diperuntuk untuk membangunkan Limbang dan Lawas di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).


“Saya yakin dengan adanya jalan yang dibangunkan  di bawah NRDA,sudah tentu Limbang dan Lawas disambung dengan jalan raya yang  baik termasuk ke Gunung Buda,”katanya.


Katanya, jalan raya yang menghubungkan Gunung Buda dan Gunung Mulu ini bakal dibina dengan membangunkan  jalan dari  Marudi  hingga Long Terawan dan bersambung dengan Gunung Buda.


“Dengan adanya jalan raya ini, Miri, Marudi hingga  Limbang  boleh dilalui dengan jalan raya selain jalan melalui negara Brunei,”ujarnya lagi.

Next Post Previous Post