-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Lompat parti: DAP pinda perlembagaan dalam kongres khas

| Ogos 03, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-03T08:59:29Z
Anthony Loke

KUALA LUMPUR— DAP akan mencadangkan pindaan kepada perlembagaan partinya yang mensyaratkan mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak mengikut keputusan parti dalam perkara-perkara tertentu bakal dilucutkan keahliannya.  


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata pindaan itu akan dicadangkan menerusi satu Kongres Khas pada 25 Sept depan bertujuan bagi menutup lompang dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan lompat parti yang telah diluluskan minggu lepas.


"Ada pandangan mengatakan bahawa apa yang dipinda di Parlimen minggu lalu tidak mencukupi untuk melarang tindakan lompat parti kerana kalau seseorang Ahli Parlimen itu dipecat dari partinya (dan bertukar parti) dia tidak dikira sebagai lompat parti dan tidak perlu mengosongkan kerusi tersebut.


"Jadi kita melihat ini sebagai satu lompang yang perlu ditutup, kerana apa yang dibimbangkan ialah sekiranya ada Ahli Parlimen yang berniat untuk lompat parti, dia tidak akan meninggalkan parti tetapi akan membuat perkara-perkara supaya dia dipecat dan jika itu berlaku individu itu tidak perlu kosongkan kerusi. 


Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP di sini hari ini. 


Loke berkata perkara itu melibatkan keadaan-keadaan membabitkan keputusan dasar parti yang penting untuk diketengahkan di Dewan Rakyat seperti pelantikan Perdana Menteri, undian bajet dan sebagainya bagi menjamin keberkesanan parti. 


"Tindakan seseorang wakil rakyat di Parlimen itu yang disyaratkan untuk mengikut keputusan parti kerana kami merasakan jika ada yang ingin melompat, menurut peruntukan dalam pindaan perlembagaan persekutuan yang ada hari ini dia tak perlu lompat cukup untuk dia buat perkara yang bertentangan dengan parti.


“Sebagai contoh jika ada usul yang perlu kami bantah dan ada yang mengundi sokong usul itu, maka itu boleh mengganggu keberkesanan parti, walaupun kita ada Ahli Parlimen tetapi undi tidak berpihak kepada parti kita," katanya. 


Beliau berkata satu Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Parti yang diketuai oleh Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen bakal membincangkan perkara tersebut secara teliti dan cadangan pindaan itu akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dalam tempoh sebulan. 


Terdahulu, Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan.


Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan.


-- BERNAMA 

×
Berita Terbaru Update