Kejam, lelaki langgar dan gilis kekasih berulang kali

Tangkap layar menunjukkan Zhang memandu kenderaan SUV berwarna putih ke arah kekasihnya yang sebelum itu dilanggar dan terbaring di tanah.

HEBEI— Seorang lelaki bertindak kejam melanggar dan mengilis kekasihnya berulang kali sehingga mati, dalam kejadian ngeri di hadapan sebuah kolam renang pada Selasa.


Menerusi video rakaman yang tular di media  sosial, lelaki dikenali sebagai Zhang dari Tangshan, Wilayah Hebei itu bertindak merempuh mangsa, Wang menggunakan kereta utiliti sukan (SUV) berwarna putih di tempat parkir kereta.


Memetik Globaltimes.cn, mangsa yang terbaring di tanah kemudian dipindahkan oleh orang awam ke tempat yang lebih selamat di kawasan berhampiran.


Bagaimanapun, Zhang dilihat memecut kereta SUV ke arah mangsa yang terbaring lalu mengilis mangsa sebelum berpusing dan mengulangi perbuatan kejam itu.


Kesan dipercayai darah mangsa turut dilihat dalam bentuk pusingan besar di atas tempat parkir lokasi kejadian.


Zhang kemudian melarikan diri namun berjaya ditahan oleh polis tempatan sekitar 3 petang Selasa.


Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham, namun butiran lanjut masih dalam siasatan, menurut kenyataan polis.


Manakala mangsa yang dikejarkan ke hospital disahkan meninggal dunia.


Seorang pekerja dari kolam renang memberitahu media bahawa Wang adalah rakan sekerja dan sebelum kejadian malang itu, Wang turun bekerja seperti biasa.


Sementara itu, adegan ngeri ini mencetuskan kemarahan warganet di Sina Weibo, media sosial China mirip Twitter, yang membantah dan mengutuk kekejaman suspek terhadap mangsa dan berharap siaatan lanjut dijalankan.


Warganet negara itu turut mempersoalkan kewibawaan pihak berkuasa dalam menangani kes seumpama itu berikutan kejadian itu.


Pada Jun, seorang wanita dilaporkan dicederakan semasa berada di restoran berbeku sehingga mencetuskan kemarahan di platform media sosial China dengan tumpuan kepada perlindungan wanita dan menjaga keselamatan awam.

Next Post Previous Post