Pendidikan universiti percuma untuk anak Sarawak, hasrat Abang Jo sempena ulang tahun ke-72

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang memotong kek pada majlis Makan Malam Pemimpin Berjiwa Rakyat di Dewan Suarah Limbang malam semalam. Gambar Sarawakku

LIMBANG— Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu melihat anak Sarawak menikmati pendidikan universiti secara percuma pada masa depan sebagai hasratnya sempena sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-72, hari ini.


Abang Johari berkata hasrat inilah yang mendorong beliau untuk merangka penubuhan sebuah dana kekayaan berdaulat untuk Sarawak yang boleh digunakan untuk menyediakan pendidikan percuma peringkat tinggi.


“Saya sudah pergi tiga tempat dan Insya-Allah (perancangan) sudah beres dan kita akan mempunyai satu pendekatan kerana kita merupakan kedua-dua negeri sumber ekonomi an bukan sumber ekonomi. Kita boleh dapat penjanaan dana untuk masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Muzium Limbang di sini.


Tiga negara yang dijadikan rujukan beliau ialah Norway yang merupakan negara ekonomi berasaskan sumber asli, Singapura yang ekonominya bukan berasaskan sumber dan United Kingdom yang memiliki syarikat pengurusan dana bertaraf global.


“Pendapatan kita sudah bertambah. Sebab itu, saya berani bercadang untuk kita menubuhkan dana berdaulat yang merupakan simpanan dana kita untuk masa depan. Kalau dikaji, kita akan menjadi negeri pertama mempunyai dana berdaulat,” katanya.


Menyentuh Muzium Limbang, Abang Johari berkata ia akan menjadi pusat penting bukan sahaja untuk tujuan tarikan pelancongan tetapi sebagai rujukan dan simpanan bahan-bahan serta maklumat bersejarah di kawasan ini.


Menurutnya kepentingan peranan muzium terserlah ketika kerajaan Sarawak memulakan kajian dokumen-dokumen berkaitan penubuhan Malaysia di Muzium London sebagai asas untuk mendapatkan kembali hak-hak Sarawak yang telah terhakis.


“Apabila kita berbincang tentang MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), kita mempunyai fakta yang betul melalui rekod-rekod yang tersimpan di muzium itu,” katanya.


Bagi beliau, Muzium Limbang mempunyai perkaitan peribadi bagi dirinya memandangkan tapak muzium yang dibangunkan ini merupakan tapak kuarters pegawai daerah yang menjadi tempat kelahiran beliau pada tahun 1950.


“Alhamdulillah, ini semua kuasa Allah, dan saya dapat menyaksikan pembangunan Limbang sampai hari ini. Saya pun tidak menyangka menjadi pemimpin tuan-tuan pada hari ini. Saya berkhidmat kerana Allah. Mudah-mudahan umur kita panjang diberi kesihatan dan terus membuat kebajikan kepada rakyat,” tambahnya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post