Op Dadu Khas: 387 individu di Sarawak ditahan - Pesuruhjaya Polis

Datuk Mohd Azman semasa sidang media Ops Dadu Khas bertempat di Ibu Pejabat Kontijen Sarawak hari ini.

KUCHING—Seramai 387 individu terlibat dalam kegiatan perjudian ditahan menerusi Op Dadu Khas yang dijalankan dari 14 Julai hingga 14 Ogos lepas di negeri ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri. 


Beliau berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan umur 20 tahun hingga 63 tahun itu terdiri daripada 360 orang warga tempatan manakala 27 lagi adalah warga asing.


Menurutnya, modus operandi bagi kegiatan perjudian itu ialah menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk menghantar pautan laman sesawang perjudian kepada pengguna.


“Seramai 251 orang yang ditahan adalah lelaki manakala jumlah rampasan bernilai RM47,705. Kegiatan mereka ini termasuklah judi dalam talian, pertaruhan, sabung ayam dan judi di tempat bebas. 


“Kita sudah mengenal pasti beberapa laman sesawang perjudian dan telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menyenaraihitamkan laman sesawang tersebut. Yang ditangkap bukan dalang kegiatan ini tetapi mereka yang menjaga premis dan kaunter perjudian,” katanya selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.


Mohd Azman berkata untuk membanteras kegiatan perjudian di Sarawak, Jabatan Siasatan Jenayah memberi fokus kepada pemotongan elektrik dan melakukan sekatan laman sesawang menerusi kerjasama MCMC.


Katanya sepanjang tahun ini sehingga 19 Ogos, sejumlah 156 premis berjaya dibuat pemotongan bekalan elektrik dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad manakala 38 laman sesawang judi dalam talian disenaraikan ke MCMC untuk disekat.


“Sebanyak 1,381 serbuan di seluruh kontinjen melibatkan tangkapan seramai 1,826 individu dengan nilai rampasan RM462,071,” katanya. 


Terdahulu, Mohd Azman menyaksikan majlis serah terima tugas antara Ketua Jabatan Pengurusan DCP Gilberd Philip Layang kepada ACP James Jonathan dan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Supt Sudirman Kram kepada DSP Brodie Brangka.


Majlis itu turut menyaksikan terima tugas antara Superintenden Pentadbiran Jabatan Pengurusan ACP James Jonathan kepada Sudirman dan Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Boniface Bajai kepada ASP Mass Nur Haslinda Abdullah.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post