Sindiket pengurup wang haram didalangi warga Bangladesh tumpas

Turut dirampas wang tunai hasil aktiviti mengurup. Gambar kredit Jabatan Imigresen Malaysia 

KUALA LUMPUR—Jabatan Imigresen Malaysia berjaya menumpaskan sindiket pengurup wang haram didalangi warga Bangladesh susulan penahanan enam lelaki termasuk dalang utama sindiket itu dalam operasi khas di sekitar ibu kota pada Jumaat dan Sabtu lepas.


Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata kesemua lelaki berusia 26 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan ke atas tiga kiosk menjual peralatan telefon dan elektronik, serta kiosk agensi pelancongan yang disyaki menjalankan aktiviti pengurup wang tanpa lesen. 


Beliau berkata operasi itu dijalankan susulan penahanan seorang lelaki warga Bangladesh yang bertindak sebagai “runner” kepada sindiket itu pada 18 Ogos lepas. 


“Kesemua mereka yang ditahan merupakan pekerja dan penjaga di kiosk berkenaan. Dalang utama sindiket berusia 36 tahun itu ketika ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya turut dirampas wang tunai berjumlah RM44,035 disyaki hasil aktiviti mengurup wang serta buku-buku dan dokumen rekod kiriman wang ke luar negara seperti Bangladesh dan Indonesia.


“Berdasarkan rekod-rekod kiriman wang yang dijumpai, sindiket ini mampu membuat kiriman wang ke luar mencecah RM1.2 juta sebulan,” katanya.


Menurut Khairul Dzaimee pihaknya juga mengesyaki sindiket itu turut menjalankan kegiatan sebagai agen pekerja asing berdasarkan rampasan 15 naskah pasport Bangladesh dalam serbuan itu.


Beliau berkata kesemua suspek dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk tindakan lanjut dan mereka disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post