Abang Johari harap lebih banyak kerjasama Sarawak, Petronas

Berharap kerjasama yang lebih banyak dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi pada masa akan datang - Abang Johari. Gambar arkib

BINTULU— Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengharapkan kerjasama yang lebih banyak dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) agar negeri itu dan Malaysia mampu dipacu menjadi ekonomi berpendapatan tinggi pada masa akan datang. 


Salah satu daripada tiga sektor yang telah dikenal pasti dan yang beliau percaya mempunyai masa depan yang cerah adalah pengeluaran bahan api penerbangan. Ini berikutan lawatan beliau ke kilang penyelidikan Petronas di Kidurong baru-baru ini.


"Tidak perlu saya dedahkan buat masa ini tetapi biarlah kita bincang dulu. Saya yakin ketiga-tiga sektor ini akan mengubah Sarawak dan Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi," katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah Kemudahan Jualan Gas Tambahan Petronas Bintulu (BAGSF-2) di sini hari ini.


Kerjasama itu, yang membabitkan penggunaan teknologi terkini dan akan membantu dalam mengawal isu pelepasan karbon, boleh meletakkan Sarawak serta Malaysia di peringkat antarabangsa dengan lebih baik dalam konteks minyak dan gas termasuk tenaga boleh diperbaharui.


Katanya, pembinaan BAGSF-2 adalah bukti komitmen Petronas dalam bekerjasama selain menyokong aspirasi Sarawak untuk maju menjelang 2030 dan sebagai pemboleh kepada Bintulu menjadi satu lagi hab petrokimia di Malaysia.


Projek itu menandakan pencapaian yang amat penting, bukan sahaja dalam usaha Sarawak untuk mencapai aspirasi ke arah negeri maju menjelang 2030, tetapi yang lebih mustahak adalah merealisasikan platform sendiri ke arah penceburan ke dalam industri minyak dan gas (O&G) terutamanya sektor petrokimia hiliran.


"Sarawak mengiktiraf sumbangan industri O&G kepada pertumbuhan ekonominya. Saya yakin BAGF-2 akan menambah lagi nilai kepada perniagaan hiliran negeri melalui penzahiran operasi Sarawak Petchem Sdn Bhd (SPSB) sebagai enjin pertumbuhan ekonomi utama negeri dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang," kata Abang Johari.


Menurut beliau lagi, langkah permulaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) terbukti apabila negeri itu berupaya menceburi industri O&G, malah ekonominya mengukuh sebagai yang ketiga terbesar di negara ini selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


BAGSF-2, yang berkeluasan 70 hektar itu, mempunyai bangunan pentadbiran khusus, kawasan pemprosesan, stesen pemeteran dan utiliti, ia direka dengan kapasiti untuk menghantar sehingga 390 juta kaki padu standard gas sehari (mmscfd).


Ia akan membekalkan 160 mmscfd gas asli ke Sarawak PetChem yang kini dalam pembinaan di Tanjung Kidurong, 70 mmscfd akan dibekalkan ke loji janakuasa Tanjung Kidurong Sarawak Energy Bhd manakala kapasiti selebihnya dikhaskan untuk pelanggan masa depan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post