Lim Guan Eng tolak permohonan cukai Baleh Hydro tanpa sebarang alasan


KUALA LUMPUR-- Mahkamah Tinggi diberitahu permohonan RM10.9 bilion untuk dipertimbangkan sebagai elaun cukai pelaburan oleh anak syarikat Sarawak Energy Bhd (SEB), Baleh Hydro Power Generation Sdn Bhd pada 2019, yang dilantik bagi membina loji kuasa hidroelektrik di Kapit, Sarawak ditolak Lim Guan Eng tanpa sebarang alasan semasa beliau menjawat tugas Menteri Kewangan ketika itu.


Lim dalam afidavit bagi menjawab tuntutan Baleh Hydro, yang menamakan Kementerian Kewangan sebagai responden, berkata projek hidroelektrik itu bukan projek kepentingan negara sebagai keputusannya untuk menolak tuntutan syarikat itu.



Difahamkan, projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak (RES).


Berikutan itu, Baleh Hydro membuat permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Menteri.


Susulan permohonan semakan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis (4 Ogos) membenarkan RM10.9 bilion milik anak syarikat SEB itu dipertimbangkan sebagai elaun cukai pelaburan pada 2019, selepas Kementerian Kewangan sebelum ini menolak tuntutan itu.

 

Sebelum ini Baleh Hydro yang dilantik untuk membina loji kuasa hidroelektrik di Kapit, Sarawak telah memohon kepada Kementerian untuk menuntut elaun cukai pelaburan, sejenis insentif cukai yang diberikan berdasarkan perbelanjaan modal yang ditanggung oleh syarikat ke atas projek yang diluluskan.

 

Menurut permohonan Baleh Hydro, Menteri Kewangan ketika itu, Lim menolak permohonan syarikat itu tanpa memberikan sebarang sebab, walaupun Baleh Hydro mendakwa ia telah memenuhi semua syarat yang diperlukan untuk insentif cukai.


Memetik laporan The Edge Markets, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu mahkamah bahawa di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Menteri tidak perlu memberikan alasan untuk menolak permohonan insentif cukai.


Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dalam membenarkan permohonan semakan kehakiman, menerima hujahan yang dibuat oleh peguam Baleh Hydro, S Saravana Kumar, bahawa keputusan Menteri itu harus dianggap tersilap kerana syarikat itu telah memenuhi semua syarat yang diperlukan untuk insentif cukai.


Hakim juga menerima hujah pihak yang menuntut bahawa Menteri Kewangan tidak menggguna budi bicara yang diperuntukkan dalam memutuskan sama ada untuk meluluskan permohonan insentif cukai syarikat.


Beliau seterusnya bersetuju dengan hujah Baleh Hydro bahawa Lim telah gagal memberikan sebab bagi keputusannya, yang menimbulkan kesimpulan bahawa Menteri tidak mempunyai alasan kukuh untuk menolak tuntutannya.


Pengurus kanan kontrak dan perolehan Baleh Hydro, George Albert William Chapman, dalam afidavit mengesahkan bahawa syarikat itu memohon 'certiorari order'  untuk membatalkan keputusan Menteri Kewangan bertarikh 2 Oktober 2019 yang menolak sewenang-wenangnya skim insentif cukai prapakej di bawah Perintah Cukai Pendapatan (Pengecualian) (No 12) 2006.


“Syarikat itu memiliki, mengendali dan menyelenggara loji janakuasa hidroelektrik 1,285 mw yang terletak di Kapit (Projek Baleh). Anggaran jumlah kos projek Projek Baleh ialah RM10.9 bilion, dengan garis masa projek dari 2017/2018 hingga 2026/27.


“Projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif RES di Sarawak,” katanya dalam afidavitnya.


Saravana Kumar, dari firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, mengesahkan keputusan mahkamah berkata, dengan keputusan mahkamah itu, anak guamnya berhak menuntut elaun pelaburan berkenaan, iaitu 100 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak ditanggung antara 2018 dan 2027.


“Ini adalah kes pertama seumpamanya di mana keengganan Menteri Kewangan untuk memberikan insentif cukai berjaya dicabar oleh pembayar cukai dan satu yang melibatkan tuntutan insentif cukai berbilion ringgit,” tambahnya.


Februari lalu, Saravana Kumar berjaya mewakili Tenaga Nasional Bhd dalam menghentikan Lembaga Hasil Dalam Negeri daripada mendapat RM1.8 bilion taksiran cukai tambahan daripada syarikat utiliti nasional itu, apabila Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin membenarkan TNB mencabar cukai yang dikenakan, dan jumlah itu dianggap sebagai elaun pelaburan semula (RA).


Hakim memutuskan bahawa TNB berhak mendapat RA kerana ia mengeluarkan elektrik dan penjanaan elektrik adalah sejenis aktiviti pembuatan.

Next Post Previous Post