Tiga beranak maut kemalangan di Kota Kinabalu

Tiga beranak maut, Kemalangan di Kota Kinabalu, Merempuh tiang jejambat
Keadaan pacuan empat roda yang remuk selepas merempuh tiang jejambat di Jalan Lintas, malam tadi. Gambar Facebook

KOTA KINABALU—Tiga beranak maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tiang jejambat di Jalan Lintas di sini malam tadi.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian kira-kira 11.24 malam itu meragut nyawa seorang lelaki berusia 44 tahun iaitu pemandu kenderaan berkenaan.


"Dua lagi yang maut adalah anak lelaki pemandu terbabit dikenali Alkail, 16, serta anak perempuannya yang dikenali sebagai Sazfa berusia 11 tahun...bagaimanapun kita belum dapat mengenal pasti identiti pemandu berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Zaidi berkata seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai ahli keluarga mangsa mengalami cedera parah dan kini dirawat di hospital.


Beliau berkata siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Angkasa Apartment, Rampayan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu melalui Jalan Lintas. 


"Apabila sampai di Jalan Lintas selepas melalui jalan berdekatan simpang Klinik Luyang, kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas merempuh sebuah tiang besar jejambat berdekatan. 


"Akibat perlanggaran tersebut, dua mangsa tercampak keluar daripada kenderaan, manakala pemandu dan anak lelakinya tersepit di dalam kenderaan. Ketiga-tiga anak beranak itu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan," katanya.


Zaidi berkata hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan terbabas sendiri dan keadaan jalan ketika itu adalah licin akibat hujan.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.