"Jalan balak" di pusat bandar raya akibat projek tebatan banjir siap empat bulan lagi

Dr Abdul Rahman Junaidi (dua kanan) semasa meninjau projek pembinaan parit tebatan banjir di Padang Merdeka di sini, hari ini.

KUCHING—Projek pembinaan parit tebatan banjir yang merangkumi Jalan Masjid, Jalan Gartak, Jalan Market dan Lebuh Java dijangka dapat disiapkan sepenuhnya awal Disember 2022.


Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata ini selepas kontraktor penyelamat telah dilantik bagi meneruskan projek  sepanjang 515 meter dan merangkumi pembinaan kolam takungan dan kunci air itu pada 1 Ogos lepas.



"(Projek) Dijangka siap dalam tempoh empat bulan, jadi kita jangka siap sepenuhnya  pada awal Disember. Sekarang ni kita tak pasti musim tengkujuh bulan November atau Disember kerana cuaca yang berubah "katanya selepas melawat projek terbabit di Padang Merdeka di sini, hari ini.


Dr Abdul Rahman berkata pihaknya juga dimaklumkan ketika ini projek terbabit sudah mendahului jadual penyiapannya sebanyak tujuh peratus dan kerja penurapan jalan  di hadapan Poliklinik Jalan Masjid dijangka bermula dalam tempoh seminggu ini.


"Projek ini dianugerahkan Kerajaan Sarawak melalui Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bermula dengan kos kontrak RM6.6 juta, tetapi kontraktor asalnya tidak dapat menyiapkan projek kerana pelbagai isu termasuk pandemik Covid-19,"katanya.


Katanya projek terbabit yang asalnya bermula 11 Januari 2018 dan sepatutnya siap 12 Januari 2019 itu adalah penting bagi mengatasi masalah banjir kilat terutama di Padang Merdeka di sini.


Sehubungan itu, pihak DBKU telah mengambil keputusan menamatkan kontraktor asal projek pada 20 September 2021 dan selepas melalui banyak prosesnya kontraktor kedua atau kontraktor penyelamat telah dilantik pada 1 Ogos lepas dengan dana tambahan kos kontrak RM2.95 juta.

Next Post Previous Post