Helikopter Bomba siasat pembakaran terbuka

Bomba melakukan rondaan bagi memerangi aktiviti pembakaran terbuka di kawasan pedalaman Sarawak. Gambar arkib

KUCHING—Bomba mengerahkan unit helikopter bagi menyiasat laporan pembakaran terbuka di kawasan utara Sarawak, dalam usaha memerangi aktiviti itu yang boleh menerbitkan jerebu.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khirudin Drahman@Hussaini berkata, pihaknya menerima laporan daripada syarikat penerbangan MasWings mengenai kebakaran terbuka seluas satu ekar di Long Seridan, Miri.


Gambar arkib


“Bomba semalam sudah mengerahkan unit helikopter ke kawasan pedalaman itu bagi menyiasat laporan itu.


Selain itu, anggota Bomba juga meronda kawasan panas di Sri Aman bagi menghentikan pembakaran terbuka yang sebelum ini menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pada 12 Ogos lalu,” katanya.


Khirudin berkata demikian semasa sidang media Children Fire Safety Champion Program-Safe And Alert "Fire Safety Starts With Me" anjuran Yayasan Farley di Farley Kuching, Batu 6, Jalan Penrinssen di sini, hari ini. 


Beliau menambah, sebanyak sembilan titik panas dikesan melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) pada minggu lepas, dengan tujuh titik panas itu dikesan di Sri Aman manakala selebihnya di utara Sarawak membabitkan aktiviti penanaman padi.


“Mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mahkamah dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” tegasnya.


Dalam perkembangan berkaitan, Khirudin menggesa agensi berkaitan menghentikan pengeluaran permit pembakaran sementara waktu.


“Berdasarkan imej satelit, masih banyak titik panas di Indonesia. Justeru pihak kami melalui Wisma Putra dan Jabatan Alam Sekitar menghantar bantahan kepada kedutaan negara itu untuk menghentikan pembakaran.


Kita tak mahu, nanti mereka mengatakan Sarawak juga ada titik panas,” katanya.


Pada 12 Ogos lalu, NOAA melaporkan terdapat 97 titik panas dikesan di Kalimantan dan 70 titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia.


Ketika ini angin sedang bertiup dari negara kejiranan itu dan dikhuatiri akan membawa jerebu asap ke Sarawak.

Next Post Previous Post