358 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri semasa sidang media hari ini.

KUCHING-- Seramai 358 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 semasa Op Tapis Khas di seluruh Sarawak.


Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, tangkapan itu bagi tempoh 27 hingga 29 Julai tahun ini yang mana 330 individu adalah lelaki manakala selebihnya, 28 orang adalah wanita, berusia antara 17 hingga 59 tahun.


"Op Tapis Khas ini diadakan selaras dengan Operasi Tapis Khas SeMalaysia yang mana Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak diterajui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dibantu oleh lain-lain jabatan dalam PDRM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menjalankan operasi di seluruh negeri Sarawak.


"Dalam operasi pembanterasan dadah ini, polis telah mengadakan pemeriksaan mengejut ke atas pemandu kenderaan awam khususnya bas express, membuat pemeriksaan ke atas kenderaan-kenderaan komersial dan persendirian di kawasan hentian rehat di jalan raya utama," katanya pada sidang media hari ini.


Selain itu, katanya, dalam operasi itu juga, pihaknya mendirikan sekatan dan lencongan di stesen timbang JPJ, menjalankan pemeriksaan di kompleks ICQS, memberi tekanan kepada sindiket dan penagih dadah yang telah mewujudkan kegusaran dalam masyarakat serta meningkatkan kepercayaan dan menyakinkan masyarakat bahawa masalah dadah perlu ditangani secara berterusan.


Pada masa sama kata Azman, pihaknya juga mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 ke atas sasaran-sasaran yang dikenalpasti serta mengambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi menangani penagih berulang dan mengesan dan menyempurnakan waran tangkap kes-kes dadah.


Tambahnya, dalam operasi itu, polis turut menyita harta bernilai RM120,000 iaitu sebuah kereta di Sibu dan sebuah kereta di Bintulu .


Dalam pada itu, kata beliau ujian saringan awal air kencing juga dilaksanakan yang mana seramai 241 orang atau 67 peratus daripada 358 orang yang telah ditangkap didapati positif pelbagai jenis dadah.


"Manakala seramai lapan orang penagih tegar telah dikenalpasti untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari 5 tahun dan tidak lebih dari 7 tahun dan sebatan tidak lebih dari 3  sebatan jika disabitkan kesalahan.


"Dalam operasi ini juga, sebanyak 20 waran tangkap kes-kes dadah telah berjaya dikesan dan disempurnakan," ujarnya.


Selain itu, katanya, dalam operasi ini polis telah merampas dadah bernilai RM69,618.50 iaitu 131.47 gram syabu (methamphetamine), 34 pokok ganja, 1.85 gram ganja (kanabis) dan 1.5 liter air ketum.


"Rampasan dadah tertinggi dilakukan di daerah Sibu iaitu bernilai RM56,420.00, diikuti oleh Kuching bernilai RM4,970.50 dan Miri RM4,576.00 diikuti lain lain daerah," tambahnya.


Dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Julai 2022 Azman memberitahu, JSJN Sarawak merekodkan sebanyak 5,491 orang tangkapan, merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM9,083,726.50 dan menyita harta bernilai RM1,914,003.07.


Sehubungan itu tegasnya, PDRM khususnya JSJN akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah dengan melumpuhkan sumber bekalan, kewangan dan aset sindiket bagi memastikan kegiatan mereka dibanteras habis-habisan.

Next Post Previous Post