Wanita cedera ketika daki gunung Bung Jagoi


BAU--Nasib malang menimpa seorang wanita selepas mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti mendaki gunung Bung Jagoi, di sini pagi tadi.


Mangsa berusia 37 tahun itu dalam keadaan sedar tetapi mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki kanan menyebabkan kesukaran untuk berjalan dan berdiri.



Komander Operasi, PKPgB Tawang Linggem berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 10.18 pagi dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Bau ke lokasi kejadian.


"Kita menerima panggilan dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memohon bantuan membawa seorang mangsa cedera ketika melakukan aktiviti mendaki.


"Pasukan penyelamat menggunakan teknik 'pick a back' dan 'two rescuer assist' untuk mengangkat mangsa sehingga sampai di kaki bukit di Kampung Plaman Boawae,"katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya,selepas sampai di kaki bukit, mangsa kemudian dibawa menggunakan kederaan pacuan empat roda milik ketua balai memandangkan laluan permukaan berbatu dan bertanah kuning sepanjang satu kilometer  dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda sahaja. 


"Sampai di tempat letak kereta awam, mangsa menerima rawatan awal dari Unit EMRS dan dibawa ke hospital Bau bagi mendapatkan rawatan lanjut," ujarnya.

Next Post Previous Post