Tak perlu RCI siasat banjir di Baling, kata Wan Junaidi

Keadaan banjir di Kupang, Baling menyebabkan ramai penduduk tinggal sehelai sepinggang. Gambar kredit FB Saiful Izham

KUCHING—Tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi melihat isu banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah baru-baru ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.


Beliau berkata sebaliknya, perkara lebih penting adalah melihat aspek penguatkuasaan undang-undang sedia ada.


Katanya RCI juga tidak mempunyai kuasa tertentu tetapi hanya mampu mengemukakan cadangan untuk pertimbangan kerajaan.


“RCI tiada kuasa menangkap (pesalah) tetapi hanya buat cadangan dan siasatan mereka biasanya akan memakan masa enam ke tujuh bulan untuk kemuka rumusan dan laporan yang akan dibentang di Parlimen.


“Akhirnya laporan mereka itu akan kembali ke jemaah Menteri untuk memilih apa daripada cadangan itu yang mahu dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis simbolik penyerahan lembu korban bagi Parlimen Santubong di sini hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Isnin lepas, banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras.


Wan Junaidi berkata isu utama yang harus dilihat dalam isu banjir di Baling adalah peranan penguat kuasa dalam menjalankan tugas mereka.


“Persoalan kini ialah bagaimana perkara ini boleh berlaku di depan mata kita sendiri, tidak mungkin kita tidak tahu. Di mana letaknya pegawai perhutanan dan pihak penguat kuasa lain. Ini isu bagaimana pihak penguat kuasa menguatkuasakan undang-undang sedia ada. Jangat ada memihak,” katanya.


Sementara itu, mengulas mengenai cadangan agar satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan isu harga barang, Wan Junaidi berkata perkara itu tidak perlu.


Jelasnya ini kerana persidangan Dewan Rakyat sememangnya akan bermula 18 Julai ini dan Ahli Parlimen boleh mengemukakan sebarang usul semasa persidangan itu.


“Satu persidangan khas (Parlimen) juga akan menelan belanja besar di mana setiap ahli Parlimen dan pegawai perlu dipanggil.


“Pada persidangan (18 Julai nanti) Ahli Parlimen boleh bawa usul dan terserah pada Speaker untuk pertimbangkan,” katanya.


 -- BERNAMA 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.