SIDC bekerjasama dengan Imperial College di UK dalam program pertukaran

Gambar kredit Facebook Imperial College London

KUCHING— Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) akan bekerjasama dengan The Imperial College, London dalam menjayakan program pertukaran staf dan pelajar.


Perkara itu dipersetujui secara prinsipnya susulan lawatan kerja delegasi yang diketuai oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah ke United Kingdom baru-baru ini.


Kementerian berkenaan dalam kenyataan hari ini berkata kolaborasi dengan Imperial College itu turut merangkumi program enam hingga 12 bulan penempatan sementara atau sabatikal.


“Program pembangunan modal insan akan dimulakan berdasarkan kepada projek, yang akhirnya akan berkembang menjadi program pembangunan modal insan jangka panjang untuk pusat berkenaan,” katanya.


Menurutnya mesyuarat delegasi dengan Imperial College adalah untuk membincangkan bidang penyakit berjangkit terutamanya dalam pengawasan penyakit, analisis data, diagnostik molekul dan pembangunan terapeutik.


Delegasi itu turut mengadakan pertemuan dengan Yayasan Raspberry Pi di Cambridge dengan objektif untuk lebih memahami kandungan pembelajaran Raspberry Pi dan penggunaannya untuk pelajar dan guru.


“Hasil mesyuarat itu, Kementerian dan Yayasan berkenaan akan mengadakan perbincangan lanjut untuk bekerjasama dan menjalankan program serta aktiviti yang sesuai bagi pelajar dan guru di Sarawak, meraih penyertaan daripada Sarawak dalam pertandingan pengekodan dalam talian tahunan Yayasan.


"Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi menubuhkan pusat penyelidikan Raspberry Pi di Pusat Sains Sarawak yang akan datang,” menurut kenyataan itu. 


Menurutnya Roland Sagah turut bertemu dengan pasukan dari Muzium Sains di London sebagai sebahagian daripada usaha Sarawak menubuhkan Pusat Sainsnya sendiri.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post