Sarawak rangka dasar ekonomi untuk jadi pengeksport bersih

Abang Johari (empat kiri) menyempurnakan simbolik perasmian. Gambar Jabatan Penerangan Sarawak

GEDONG -- Kerajaan Sarawak akan merangka dasar ekonomi menjurus kepada pengeksportan produk yang bakal memberikan impak positif kepada ekonomi negara menjelang 2030, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Beliau berkata dasar ini akan dibuat sejajar dengan dasar ekonomi nasional melibatkan sektor pertanian yang perlu dirangka dengan teliti dan jelas bagi memastikan Malaysia menjadi negara pengeksport bersih.


Abang Johari menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Peringatan HADK dan Program JTDL Keluarga Malaysia Negeri Sarawak 2022 di Gedong. Gambar Jabatan Penerangan Sarawak


“Kalau ada dasar yang betul dari sudut pertanian, kita boleh jadi pengeksport bersih. Sarawak ada tanah yang luas, kuasa elektrik yang murah serta kita ada kepakaran. 


“Kalau Sarawak mampu (melaksanakan dasar sedemikian), Malaysia pun mampu kerana ia akan beri kesan kepada ekonomi negara apabila kita dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya. 


Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan dan Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) di Dataran Gedong, hari ini.


Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Badrul Hisham Mohd dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Mohamad Mustahapa Awang. 


Sementara itu, Abang Johari yang juga Ahli Parlimen Gedong berkata sebuah kampus satelit mini Universiti Swinburne Sarawak akan diwujudkan di Gedong khusus bagi penyelidikan serta teknologi berkaitan padi dan pertanian. 


Beliau menekankan pendekatan pertanian cara moden dan baharu perlu dilaksanakan di negeri ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil import. 


“Beberapa hari yang lepas saya ada mengarahkan Pro Canselor University Swinburne untuk membina makmal di Gedong dan kita akan adakan satu lagi kampus satelit di Unimas (Universiti Malaysia Sarawak) untuk penyelidikan. Kerajaan negeri akan menanggung kosnya,” katanya.


Sebelum ini, media melaporkan makmal penyelidikan pertanian bakal dibangunkan di kawasan ini dengan padi biris, cili, pisang, tomato, avokado dan lada sebagai antara tanaman yang diberi perhatian.


Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata keputusan Indonesia membekukan sementara kemasukan pekerjanya ke Malaysia tidak memberi impak besar kepada negeri itu jika ia melibatkan sektor pembantu domestik.


Beliau berkata Konsul Jeneral Indonesia di Sarawak Raden Sigit Witjaksono memaklumkan kepadanya bahawa perbincangan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia setakat ini menyentuh isu pelanggaran syarat tentang pembantu domestik.


“(Kalau) masalah yang dibincangkan (hanya tentang perkhidmatan domestik), Sarawak tidak ada masalah sangat. Tapi disebabkannya polisi negara (melibatkan semua sektor), kita terjejaslah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan dan Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia di sini hari ini.


Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono pada Rabu berkata, Indonesia menghentikan sementara semua proses berkaitan pengambilan pekerja dari negaranya di semua sektor berkuat kuasa serta merta.


Katanya, ia susulan wujud salah faham dalam penggunaan sistem yang sudah dimeterai untuk digunakan sebelum ini dan pihaknya sudah menghantar maklum balas itu kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berhubung perkara terbabit.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post